Karpal Singh tinggalkan tandanya dalam undang-undang Malaysia, kata pakar perundangan

OLEH: V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
Orang ramai tanpa mengira bangsa datang ke rumahnya di Jalan Utama, Pulau Pinang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada peguam dan ahli politik terkenal, mendiang Karpal Singh. Gambar fail The Malaysian Insider. 
Orang ramai tanpa mengira bangsa datang ke rumahnya di Jalan Utama, Pulau Pinang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada peguam dan ahli politik terkenal, mendiang Karpal Singh. Gambar fail The Malaysian Insider.
Sepanjang berada dalam kerjaya undang-undang untuk hampir separuh abad, mendiang Karpal Singh banyak memberi sumbangan kepada pembangunan undang-undang jenayah dan sivil Malaysia dengan hampir 600 petikan dalam Jurnal Undang-undang Malaysia, kata pemikir undang-undang.

Mereka memberitahu The Malaysian Insider, helang undang-undang terkemuka itu, yang maut dalam kemalangan jalan raya semalam, mampu melakukannya kerana beliau merupakan peguam serba boleh yang berani berhujah dan membantah kes di mahkamah.

Mereka berkata, Karpal mempunyai kelebihan untuk menyatakan mengapa undang-undang tertentu tidak boleh diguna pakai dan perlu pindaan kerana beliau turut boleh melobi untuk membolehkan perubahan berlaku di Parlimen.

Karpal juga adalah contoh terbaik kepada pelajar undang-undang kerana memiliki kualiti yang diperlukan untuk menjadi peguam yang berani, kata mereka.

Peguam, Datuk K Kumaraendran yang berpangkalan di Pulau Pinang dan memulakan kerjaya peguam pada masa sama dengan Karpal, berkata peguam dan ahli politik itu sering mengambil kes yang membabitkan bebanan bukti.

“Demi kepentingan keadilan, beliau membangunkan undang-undang itu kerana wujud ketidakpastian mengenai isu tidak bersalah hingga terbukti bersalah,” kata Kumaraendan yang sering bersama Karpal mengendalikan kes jenayah pada lewat 1970-an dan awal 1980-an.

Kumaraendan yang memulakan kerjaya undang-undangnya di Alor Star bersama Karpal berkata, mendiang adalah perintis kepada peguam yang membawa kes pengedaran dadah dan habeas corpus.

“Beliau adalah peguam yang bertanggungjawab menyebabkan mahkamah apex di Malaysia lebih jelas mengenai isu anggapan berganda dalam kes pengedaran dadah,” katanya dan menambah penghakiman mahkamah selepas itu banyak menyelamatkan tertuduh daripada tali gantung.

(Dalam tanggapan berganda mahkamah perlu membuat keputusan sama ada jenayah dilakukan itu adalah pemilikan atau pengedaran, bukan kedua-duanya.)

Peguam, Datuk V Sithambaram, yang memulakan kerjaya pada 1978 menggambarkan keberanian Karpal sebagai peguam tidak boleh ditandingi dan cintanya amat mendalam terhadap undang-undang.

“Legasinya akan terus kekal dalam arena undang-undang dan politik,” katanya.

Sebagai peguam junior dalam banyak kes jenayah, katanya, Karpal mengajarnya untuk berterus-terang di mahkamah.

“Ringkas dalam menyampaikan hujah di mahkamah adalah cara Karpal,” kata Sithambaram.

Beliau berkata, Karpal sangat bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan keadilan dan membawanya ke Parlimen jika melihat ada kelemahan dalam penggunaan sesuatu undang-undang di mahkamah.

Peguam kanan dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, berkata tanggapan pertamanya terhadap Karpal ialah beliau seorang yang pakar dalam prosedur jenayah dan undang-undang bukti.

“Dalam satu kes jenayah beliau mampu meyakinkan hakim perbicaraan untuk melihat semula pengakuan yang dibuat oleh anak guamnya. Selepas penghujahan, hakim memerintahkan juri untuk membebaskan tertuduh,” kata Sri Ram, merujuk kepada kes bunuh pada 1973.

Sri Ram memulakan kerjayanya sebagai peguam pada 1970 dan dilantik menjadi hakim Mahkamah Rayuan pada 1994.

Katanya, sebagai hakim, beliau suka melihat Karpal menyampaikan hujahan kerana hujahnya cepat dan isu yang dibangkitkan mudah difahami.

Beliau berkata, dalam kes terkenal The Cheng Poh, Karpal gagal di Mahkamah Persekutuan tetapi berjaya di Majlis Privi di London.

“Eksekutif terpaksa membentangkan pindaan di Parlimen kesan daripada tindakan mahkamah yang dilakukan oleh Karpal,” katanya.

Sri Ram berkata, Karpal yang membangkitkan doktrin pemisahan kuasa di kalangan tiga cabang kerajaan dan Mahkamah Rayuan bersetuju dengan hujahannya.

“Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan tidak bersetuju tetapi kebanyakan peguam berpendapat Karpal betul dalam perkara itu,” katanya.

Sri Ram, yang bersara sebagai hakim mahkamah Persekutuan pada 2010 berkata, “Setiap kali sejarah common law Malaysia ditulis, nama Karpal akan kelihatan dalam huruf berwarna emas untuk sumbangan hebatnya dalam peruntukan undang-undang berkenaan”.

Salim Bashir, yang memulakan kerjaya peguamnya pada 1995 berkata, Karpal adalah mentornya untuk berani dan pada masa sama rendah diri dalam menonjolkan diri di mahkamah demi kes anak guam.

“Beliau ada kemahiran untuk menggunakan semua senjata undang-undang yang ada untuk memperolehi keadilan bagi anak guamnya,” kata Salim dan menambah beliau suka melihat Karpal beraksi di mahkamah ketika prosiding.

Salim berkata, pelajar undang-undang juga boleh belajar kemahiran menjadi peguam yang tidak akan diperolehi di dewan kuliah jika pernah melihat Karpal di dalam mahkamah.

Katanya, Karpal mendesak mahkamah untuk membuat keputusan yang baru kerana beliau seorang yang inovatif dan sering menguji undang-undang, terutama Perlembagaan Persekutuan.

Karpal, 73, maut dalam kemalangan jalan raya apabila kenderaan yang dinaikinya berlanggar dengan lori seberat 5 tan berhampiran Gua Tempurung di Lebuhraya Utara-Selatan, awal pagi semalam.

Karpal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk menghadiri perbicaraan mahkamah seorang anak guamnya.

Kesan daripada nahas yang berlaku pada kira-kira jam 1 pagi itu membunuh peguam terkenal itu dan pembantu peribadinya, Michael Cornelious, di tempat kejadian.

Anak lelaki Karpal, Ramkarpal, dan pemandu, C Selvam mengalami kecederaan. Pembantu rumah Karpal, seorang warga Indonesia turut cedera dan berada dalam keadaan kritikal dan masih dirawat di Hospital Ipoh.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment