MUAR: Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata, kesepakatan PAS, PKR dan DAP adalah senjata paling ampuh untuk menumbangkan kerajaan BN.

Berucap sempena malam perasmian Karnival 60 Tahun PAS Johor di Parit Tarom di sini malam tadi, beliau menegaskan perlunya ketiga-tiga parti ini menjaga keakraban ini jika mahu perubahan politik berlaku di negara ini.

"Kita kena sedaya upaya jaga keakraban ini. Kalau DAP, PAS dan PKR tidak duduk bersama, BN akan jadi kerajaan selama-lamanya."

"Kita kena minta bukan Melayu untuk undi PAS, dan orang Melayu pula boleh undi DAP."

"Kalau ini terus berlaku, maka percayalah, BN akan hancur," kata beliau.

Ahli Parlimen Kluang itu berkata, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu membuktikan betapa gabungan ketiga-tiga parti berjaya menarik sokongan rakyat terbanyak apabila menang undi popular 52 peratus.

Keakraban Pakatan Rakyat ini juga kata beliau, menjadi ketakutan kepada BN sehingga mereka sehingga sekarang cuba sedaya upaya memecahkan ikatan ini khususnya melagakan DAP dengan PAS.

"DAP dan PAS ini banyak persamaan. PAS ramai ulamak DAP ramai peguam. PAS dahulunya dipelopori orang-orang miskin, DAP juga asalnya diperjuangkan oleh penjaja-penjaja."

"Maknanya kedua-dua ini parti ini dekat dengan rakyat," kata beliau lagi.

Menjelang PRU14 nanti pula ujarnya, serangan perkauman untuk memecahkan keakraban ini akan terus dimainkan oleh Umno BN.

Sebab itu juga kata beliau, sehingga sekarang pendaftaran Pakatan Rakyat tidak diluluskan kerana BN takut jika betul-betul berlaku sistem dua parti secara rasmi walaupun sekarang ini sistem tersebut sudah mula wujud.

"Kalau kita berpecah, kita akan bertemu di penjara," ujarnya.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment