SHAH ALAM: Persidangan Dewan Negeri Selangor semalam panas bila membahaskan isu penstrukturan air dan projek Langat 2 yang sedang diusahakan oleh kerajaan negeri.

Adun-Adun BN dilihat mengambil peluang membahaskan isu itu dengan mendakwa kononya sebab desakan merekalah projek Langat 2 akan diteruskan dan penstrukturan air dilakukan.

Mereka juga mendakwa, BN sangat prihatin dan merekalah yang sebenarnya membela rakyat dalam isu air ini.

Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali ketika bangun berhujah, membidas kenyataan adun BN itu dengan membawa contoh apa yang berlaku di Johor.

Azmin berkata, walaupun Johor sudah ditadbir Umno-BN sejak berpuluh tahun lalu, namun rakyat di negeri itu terpaksa membayar kadar tarif air antara paling tinggi di negara ini.

Beliau berkata, keadaan itu terjadi apabila kerajaan Johor menjual air mentah kepada Singapura dengan harga paling rendah dan kemudian menjual air bersih kepada rakyat sendiri dengan kadar paling tinggi.

“Inilah dinamakan Hidup Melayu! Kita di Selangor semua orang dapat air percuma termasuk Sungai Burong dan Kuang, jadi bersyukurlah."

“Umno sudah perintah berpuluh tahun di Selangor, tetapi tidak pernah teringat untuk beri air percuma kepada rakyat. Rakyat hanya dapat air hujan dan air parit tetapi air bersih percuma diberikan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) sejak kita memerintah negeri ini pada tahun 2008,” katanya dipetik Selangorkini.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak turut menjelaskan PR tidak pernah menolak pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2, tetapi menegaskan belum ada keperluan mendesak untuk membinanya berikutan masih ada isu lain yang perlu diteliti terlebih dahulu.

Katanya, tumpuan kini adalah untuk mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) yang terlalu tinggi iaitu 34 peratus kepada 20 peratus yang sepatutnya dilaksanakan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

“Dalam perjanjian antara SYABAS dan Kerajaan Pusat. SYABAS bertanggungjawab untuk menurunkan kadar NRW ini kepada 20 peratus pada tahun 2012 tetapi mereka gagal."

“Malah, mereka (SYABAS) tidak dikenakan tindakan kerana mereka ini kroni Umno-BN. Kalau ada usaha untuk menurunkan NRW, kita sudah selamatkan 14 peratus dan dengan rizab yang ada, tiada keperluan mendesak untuk Langat 2 kerana mungkin lima hingga 10 tahun akan datang baru perlu,” katanya.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment