KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang berat kenyataan Tun Mahathir Mohamad menerusi saluran Astro Awani pada 17 April lalu yang menyebut berkaitan perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan.

Presidennya, Amidi Abdul Manan berkata Mahathir selaku salah seorang pemimpin dunia Islam yang disegani, sepatutnya lebih berhati-hati mengeluarkan pandangan dalam hal yang berkaitan dengan perundangan syariah.

“Jika sebelum ini sindiran seperti ‘kalau mahu makan sup tangan bolehlah ke Kelantan’ dan beberapa kenyataan seumpamanya oleh beliau, maka ada baiknya beliau menarik balik kenyataan-kenyataan ini demi keimanan dan kecintaan kepada risalah Rasulullah s.a.w,” ujarnya.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

MEMETIK kenyataan yang dikeluarkan oleh Tun Mahathir Mohamad menerusi saluran Astro Awani pada 17 April 2014 yang menyebut berkaitan perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang berat kenyataan tersebut.

Tun Mahathir selaku salah seorang pemimpin dunia Islam yang disegani, sepatutnya lebih berhati-hati mengeluarkan pandangan dalam hal yang berkaitan dengan perundangan syariah.

Pandangan beliau yang menyatakan bahawa adalah tidak adil jika berlaku perbezaan hukuman antara warganegara bagi kesalahan yang sama boleh menimbulkan kekeliruan.

Beliau memberikan contoh nanti ramai orang Islam akan kudung tangan kerana mencuri sedangkan kesalahan yang sama bagi mereka yang bukan Islam hanya 2 bulan penjara.

Kenyataan ini seolah-olah mahu menggambarkan bahawa hukum Islam adalah berat, tidak munasabah dan terlalu kejam.

Beliau perlu memahami bahawa pembuktian di bawah peruntukan hudud adalah berdasarkan kepada prinsip 'Beyond the shadow of doubt' yang jauh melangkaui 'Beyond reasonable doubt' bagi menjamin hak tertuduh dan sekaligus sebagai amaran dan pendidikan kepada masyarakat.

Keindahan hukum Islam terletak kepada proses perbicaraan, pembuktian dan urus tadbirnya.

Kenyataan Tun Mahathir yang menumpukan kepada hukuman boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap hukum hudud.

Selain daripada itu, pernyataan secara bersahaja yang disebut oleh beliau, bahawa hukuman dera bagi pesalah zina tidak terkandung dalam al-Quran hanya terdapat dalam hadith sebagai satu cubaan, untuk menafikan hukuman tersebut sebagai bukan sebahagian daripada hukum Islam dan juga kedudukan hadith sebagai sumber hukum selepas al-Quran.

Jelas kenyataan ini penuh dengan kekeliruan. Hadith merupakan sumber hukum yang kedua selepas al-Quran dengan penyataan yang tegas berkaitan ketaatan kita kepada Allah dan kepada Baginda Rasulullah s.a.w adalah ketaatan yang mutlak tidak berbelah bahagi.

Justeru segala pengakuan, perbuatan dan perilaku baginda adalah manifestasi kepada tuntutan al-Quran yang sahih.

Abim berpandangan adalah lebih baik pandangan beliau tidak diketengahkan kepada awam dan beliau sendiri tidak mengeluarkan pandangan yang sebegini.

Ini adalah untuk keadilan kepada hukum Islam itu sendiri, kerana memberikan pernyataan yang tidak berdasarkan ilmu yang tepat hanya meletakkan hukum Islam bukan pada tempatnya (zalim).

Maka bagi menjamin keadilan terhadap hukum Islam Tun Mahathir perlu untuk lebih cermat dengan mendalami ilmu berkaitan perundangan Islam dari sumber yang muktabar.

Mengehadkan sumber hukum hanya kepada al-Quran tanpa hadith, ijmak dan juga qias adalah cara berfikir yang berbahaya dan boleh menjerumuskan kita ke arah kesesatan.

Tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim apatah lagi sebagai pemimpin adalah bersikap adil termasuk memberi gambaran yang benar terhadap hukum Islam.

Abim menyanjung usaha yang pernah dilakukan oleh Tun Mahathir dalam mengangkat martabat Islam tetapi pernyataan sebegini amat berbahaya dan mengelirukan.

Abim juga berpandangan penentangan terhadap Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan oleh beberapa parti baik di pihak BN mahu pun PR kemungkinan adalah berpunca dari kenyataan beliau ini.

Jika sebelum ini sindiran seperti "kalau mahu makan sup tangan bolehlah ke Kelantan" dan beberapa kenyataan seumpamanya oleh beliau, maka ada baiknya beliau menarik balik kenyataan-kenyataan ini demi keimanan dan kecintaan kepada risalah Rasulullah s.a.w.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment