Gerakan gelar Karpal negarawan terhormat, Samy Vellu menangis terima berita kematian

OLEH LOOI SUE-CHERN

Ramai orang berada di kediaman Karpal Singh di Pulau Pinang untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya. - Gambar The Malaysian Insider. 
Ramai orang berada di kediaman Karpal Singh di Pulau Pinang untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya. - Gambar The Malaysian Insider.
Parti Gerakan yang merupakan pesaing politik DAP di Pulau Pinang, hari ini memuji Karpal Singh sebagai negarawan terhormat dan rakyat Malaysia tulen.

Timbalan Presiden Gerakan Negeri, Datuk Dr Cheah Soon Hai berkata Karpal adalah salah seorang daripada beberapa individu negara ini yang meninggalkan sebuah legasi.

Beliau berkata bekas pengerusi DAP itu adalah seorang legenda dalam kedua-dua arena politik dan perundangan serta seorang lelaki dihormati oleh semua lapisan masyarakat Malaysia.

"Seluruh kerjaya perundangan dan politik beliau menyerlah daripada mereka yang sezaman dengannya. Pendirian beliau terhadap setiap isu adalah berprinsip."

“Kami menganggap beliau seorang negarawan terhormat. Pemergian beliau adalah kehilangan besar kepada negara ini."

"Kami berharap akan ada ramai orang seperti beliau. Kita perlu orang sepertinya bagi mengimbangi demokrasi," katanya selepas memberi penghormatan terakhir kepada Karpal di rumahnya di Pulau Pinang.

Mengimbas kembali kali pertama bertemu Karpal ketika remaja pada 1974, apabila Karpal datang ke kedai ubat bapanya di Alor Setar, Kedah semasa berkempen bagi pilihan raya umum, Dr Cheah berkata: "Saya berada di tingkatan satu atau dua ketika itu. Karpal juga jauh lebih muda pada masa itu tetapi kita dapat melihat beliau seorang lelaki yang baik hanya daripada penampilannya. Beliau mempunyai gaya tersendiri."

Dr Cheah berkata, beliau tidak tahu siapa yang diundi bapanya tetapi Karpal memenangi kerusi berkenaan untuk tempoh sepenggal.

Karpal bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Alor Setar dan kerusi Parlimen Alor Setar pada tahun itu. Beliau memenangi kerusi DUN dan menjadi wakil DAP pertama di negeri itu.

Pada pilihan raya umum seterusnya, Gerakan memenangi kerusi itu apabila Karpal tidak bertanding.

Tiba-tiba terdengar bisikan apabila Datuk Seri S Samy Vellu tiba.

Kedua-duanya sering berlawan cakap semasa di Parlimen tetapi entah bagaimana Karpal masih disenangi mereka yang pernah menerima kata-kata “pedas” daripadanya, termasuk bekas menteri kerja raya itu.

"Saya menangis apabila mendengar kematian tragis beliau," kata Samy Vellu.

"Kami bersama-sama dalam Parlimen dan setiap kali beliau membangkitkan isu, ia adalah untuk kebaikan rakyat," katanya.

Samy Vellu berkata, Karpal seorang pemimpin yang boleh dipercayai dan seorang lelaki yang mencari kesempurnaan dalam kerjanya.

"Beliau melakukan kerja dengan penuh kesempurnaan. Di Parlimen, beliau meminta maklumat daripada kementerian saya dan kadang-kadang beliau mahu maklumat lebih terperinci. Saya akan memberikan kepadanya."

"Walaupun beliau sudah berumur 70-an, beliau bekerja seperti seorang lelaki muda," katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Datuk Teng Chang Yeow berkata, kematian Karpal mengejutkan dan penghormatan kepada veteran DAP untuk meneruskan perjuangan politiknya untuk menyempurnakan nilai dan prinsip demokrasi di Malaysia walaupun kesihatan dan keadaan fizikal beliau yang tidak begitu mengizinkan.

Karpal, 73, terbunuh dalam kemalangan kereta semalam kira-kira jam 1 pagi di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Kampar, Perak apabila Toyota Alphard beliau bertembung dengan sebuah lori.

Pembantu peribadi Karpal, Michael Cornelius Selvam Vellu, turut meninggal dunia dalam kemalangan itu manakala anaknya Ramkarpal dan pemandu terselamat dengan kecederaan kecil.

Sejak semalam, ribuan orang melawat rumahnya di Pulau Pinang untuk memberi penghormatan terakhir kepada orang yang dianggap oleh banyak pihak sebagai salah seorang daripada ahli politik terbaik di negara ini.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment