KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) tidak mempunyai sebarang halangan dengan pelaksanaan hukuman hudud yang diinginkan Kelantan, malah menyokong penuh usaha tersebut.

Naib Pengerusi DHPP, Vincent Lee berkata pelaksanaan hudud itu hanya dikenakan ke atas mereka yang beragama Islam.

Justeru, katanya mereka yang bukan beragama Islam tidak perlu bimbang dengan hukum tersebut.

Bagaimanapun, beliau berpandangan penerangan berkaitan hudud ini perlu diperjelaskan secara menyeluruh kepada mereka yang bukan Islam, khususnya kepada ahli-ahli DHPP itu sendiri.

"DHPP bersedia membantu menerangkan kepada masyarakat bukan Islam, tapi PAS perlu mengambil tanggungjawab untuk menerangkan secara 'all out' tentang hudud kepada ahli DHPP kerana masih ramai ahli yang belum jelas tentang hudud ini."

"Jika DHPP sendiri tidak faham dan risau tentang hudud, bagaimana kami mahu jelaskan kepada orang lain? Jadi, langkah pertama PAS perlu perjelaskan kepada DHPP sebelum ahli DHPP benar-benar bersedia dan faham dengan hukum ini," kata beliau kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut berkaitan kerisauan mereka yang bukan beragama Islam, Vincent berkata kebanyakan mereka melahirkan kebimbangan kerana beranggapan hukum tersebut akan memberikan kesan kepada kehidupan seharian mereka.

Sebagai contoh, katanya isu salon rambut yang tidak membolehkan pemotong rambut perempuan memotong rambut lelaki yang sebelum ini menimbulkan kontroversi di Kelantan.

"Mereka fikir perkara sedemikian termasuk dalam hudud, sedangkan soal salon rambut termasuk dalam enakmen lain. Itu baru satu contoh yang mereka bimbangkan, belum lagi isu-isu lain yang mereka sangka akan menjejaskan kehidupan mereka," tegas beliau.

Vincent dalam pada itu menyatakan kesediaan DHPP untuk terus menjadi jambatan di antara PAS dengan golongan bukan Islam berhubung hukum hudud, sesuai dengan peranan yang diberikan PAS sejak tertubuhnya DHPP.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment