DEB punca sistem makan atas angin, kronisme berleluasa, kata Ku Li

MD IZWAN

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah ditemubual wartawan selepas melancarkan buku Malaysia Kaya, Rakyat Miskin di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 4 April, 2014.Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah ditemubual wartawan selepas melancarkan buku Malaysia Kaya, Rakyat Miskin di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 4 April, 2014.

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan kegagalan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai punca berlakunya sistem makan atas angin dan kronisme berleluasa hingga hari ini.

Beliau berkata, DEB yang dilaksanakan pada 1971 berniat baik untuk meningkatkan tahap ekonomi Bumiputera khususnya kaum Melayu, tetapi pelaksanaan dasar itu yang menjadikan ia kacau-bilau.

"Pelaksanaannya menjadi kacau-bilau dan salah kerana amalan naungan yang menyebabkan berlakunya sistem makan atas angin dan kronisme," katanya ketika melancarkan buku Malaysia Kaya, Rakyat Miskin di Kelab Sultan Sulaiman di Kuala Lumpur, malam tadi.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, DEB gagal mencapai matlamatnya, malah Bumiputera masih ketinggalan dan sasaran 40% ekuiti belum tercapai.

"Matlamat yang ditetapkan oleh polisi tersebut gagal dicapai dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Tengku Razaleigh berkata, budaya makan atas angin menyebabkan kaum Melayu jadi pemalas dan mengambil jalan mudah dalam menjalankan perniagaan.

"Makan atas angin juga mengambil jalan mudah dan malas menjalankan perniagaan," katanya yang turut dikenali sebagai Ku Li.

Katanya, kebanyakan mereka yang kaya pula terdiri daripada penyokong kuat parti tertentu.

"Hubung kait antara politik dan kekayaan biasa bagi kita semua."

"Sebagai contoh, banyak yang kaya datang daripada penyokong kuat parti politik tertentu yang membentuk kerajaan hari ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menafikan DEB mempunyai matlamat yang adil dan jujur dalam membantu khususnya Bumiputera.

Sebaliknya, Tengku Razaleigh berkata dasar tersebut mengakibatkan lebih banyak jurang di kalangan rakyat Malaysia serta mewujudkan budaya permusuhan antara etnik di Malaysia.

"Malah, ia menyebabkan ketidakseimbangan di kalangan rakyat Malaysia."

"Lebih buruk lagi, ia mewujudkan permusuhan etnik yang jelas ditunjukkan dalam sistem ekonomi dan sosial  antara kita pada masa ini," katanya yang menyifatkan perkara tersebut berlaku berpunca daripada sistem makan atas angin dan kronisme.

DEB  merupakan satu program sosioekonomi di Malaysia yang diperkenalkan pada 1971 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

Matlamat utamanya ialah perpaduan negara selain bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara ini.

Menyedari hakikat pengagihan ekonomi yang seimbang penting demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, serta mengambil kira kemiskinan serta ketidakupayaan sesetengah kaum untuk bersaing dengan kaum yang lain maka DEB dirancang untuk memperbaiki keadaan ini.

Kumpulan pejuang hak Melayu menentang sekerasnya cadangan membuang kuota Bumiputera yang dikatakan menjejaskan daya kompetitif negara selama ini.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment