DAP Selangor desak peguam negara gugur kes Karpal

OLEH JAMILAH KAMARUDIN

Gambar fail mendiang Karpal Singh ditemani Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi DAP sementara proses rayuan kesnya selesai di mahkamah. Gambar fail The Malaysian Insider.Gambar fail mendiang Karpal Singh ditemani Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi DAP sementara proses rayuan kesnya selesai di mahkamah. Gambar fail The Malaysian Insider.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Selangor hari ini menggesa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menggugurkan kes terhadap Ahli Parlimen Bukit Jelutong, mendiang Karpal Singh yang disabitkan atas  kesalahan menghasut.

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San, berkata pihaknya difahamkan Pejabat Peguam Negara sedang memfailkan rayuan untuk meningkatkan hukuman terhadap Karpal berkaitan kesalahan yang berlaku pada 2009 itu.

Katanya, dengan kematian Karpal, Pejabat Peguam Negara perlu menggugurkan rayuan kes pendakwaan yang dihadapi tokoh veteran DAP itu.

"Saya menyeru Pejabat Peguam Negara menggugurkan kes dakwaan terhadap mendiang. Sekurang-kurangnya pihak berkenaan boleh lakukan perkara itu," katanya ketika ditemui di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam, hari ini.

Mendiang yang juga bekas pengerusi DAP, pada Mac lalu memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman denda RM4,000 ke atasnya atas kesalahan mempersoalkan tindakan Sultan Perak menggugurkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar pada 2009.

Karpal, 73, didapati bersalah melakukan perbuatan itu di firma guamannya di Jalan Pudu Lama pada 6 Februari 2009.

Beliau didakwa mengeluarkan perkataan berbaur hasutan pengguguran Mohammad Nizar dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak yang baharu boleh dipersoal di mahkamah.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment