KUALA LUMPUR: Dalam usia 67 tahun dan terdengar juga ura-ura kemungkinan pihak pendakwa turut merayu untuk melanjutkan lagi tempoh hukuman selama 5 tahun yang diterimanya, tidak mustahil penjara adalah destinasi terakhir kehidupan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama ini penuh warna-warni.

Bagi penulis Shahbudin Husin, sifir politik mudah yang ada dalam pemikiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak barang kali menyetujui bahawa perjalanan politiknya untuk kekal lebih lama di tampuk kuasa turut menjadi lebih selesa jika Anwar dapat dipenjarakan.

Di ketika yang sama, Anwar pula nampaknya lebih bersedia untuk ke penjara kali ini. Beliau yang sering mengungkatkan perkataan "lawan tetap lawan" dan "jangan bicara soal perjuangan jika takut dengan risiko" bukan saja sudah meninggalkan pesanan kepada pengundinya di Permatang Pauh, minggu lalu dengan mengatakan "ini mungkin pidato saya yang terakhir", malah sempat membakar api perjuangan bahawa semangatnya sama-sekali tidak akan luntur walau ke mana sekalipun beliau dihumbankan.

Menerusi tulisan di dalam blognya semalam, Shahbudin berpandangan menjelang kemungkinan Anwar dipenjara sekali lagi, bukan saja Reformasi 2.0 dihidupkan kembali untuk mengajak rakyat, khususnya anak-anak muda agar bangkit melakukan perubahan, beberapa pemimpin pembangkang pula memberi bayangan bahawa Najib akan disingkirkan rakyat jika berani berbuat demikian.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment