Kuala Lumpur: Pertukaran guru berlaku kerana dua sebab. Yang pertama kerana memohon bertukar dan yang keduanya ditukar atas sebab-sebab tertentu. Pertukaran yang kedua tersebut iaitu ditukarkan termasuklah pertukaran membabitkan dendam politik. Dalam hal ini PAS melalui Normala Sudirman@ Cikgu Mala, yang juga Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan gigih memperjuangkan nasib guru-guru yang terbabit.

Cikgu Mala memberitahu bahawa pendedahan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Bachok menceritakan kezaliman Umno-BN.

“Pendedahan YB Ahmad Marzuk Shaary, Ahli Parlimen Bachok pada 8 April 2014 semalam di Lobi Sidang Parlimen membuktikan kezaliman Umno-Barisan Nasional telah berlaku sejak merdeka hingga ke hari ini dan semakin berleluasa dan ia tidak boleh dinafikan lagi.” Kata Cikgu Mala.

Ahmad Marzuk mendedah senarai nama warga pendidik yang dilabelkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di kawasan parlimen beliau, (Parlimen Bachok Kelantan) dan bukti pendedahan arahan untuk guru ditukarkan adalah dari orang yang berjawatan politik dari Umno-Barisan Nasional termasuk laporan dari Ketua Cawangan Umno terhadap warga pendidik. Situasi ini amat menyedihkan dan mencalar imej perguruan di Malaysia.

Terbukti, pelanggaran prosedur telah lama berlaku dalam urusan penempatan guru untuk berkhidmat bukan alasan ‘atas keperluan perkhidmatan” tetapi dengan suatu alasan atau tuduhan yang tidak berasas sama sekali kerana campur aduk kefahaman dan sentimen politik kepartian yang sempit.

Penafian Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum ini yang sering menjawab apabila isu ini dibangkitkan dalam sidang parlimen dengan jawapan ia adalah ‘prosedur biasa' adalah bercanggah dengan tindakan dan pembuktian fakta yang telah diberikan oleh Ahmad Marzuk.

Pada masa yang sama ‘Memorandum Bantahan Kezaliman Terhadap Warga Pendidik’ berkaitan isu pertukaran guru, pemecatan tidak mengikut prosedur dan ditahan gaji diserahkan oleh NGO PENDIDIK di Parlimen, SUHAKAM, dan Kementerian Pendidikan Malaysia sejak 2012 dan 2013 serta 2014, baru-baru ini.

“Saya menyeru agar warga pendidik bangkit mempertahankan hak mereka daripada ditindas dan dizalimi dengan tampil mendedahkan bukti terhadap kepincangan yang berlaku dalam persada pendidikan negara. Guru perlu berani menyuarakan kebenaran agar martabat mereka tidak sewenang- wenangnya  diperlekehkan oleh pihak yang berjawatan dalam politik Umno-Barisan Nasional."

Jangan biarkan martabat guru yang banyak berjasa mendidik anak bangsa ini  menjadi mangsa ‘dendam politik UMNO Barisan Nasional’ dan ‘penjara organisasi yang menindas' ini dibiarkan berterusan kerana yang akan rugi adalah anak bangsa pewaris kepimpinan pada masa akan datang.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment