Tiada pelan B, Anwar pasti bebas kes liwat, kata Azmin

Oleh Mohd Farhan Darwis

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di majlis pelancaran bilik operasi Pakatan Rakyat di Sungai Kantan, Kajang, semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 7 Mac, 2014.Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di majlis pelancaran bilik operasi Pakatan Rakyat di Sungai Kantan, Kajang, semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 7 Mac, 2014.


Pakatan Rakyat (PR) tidak menyediakan sebarang rancangan luar jangka bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kerana calon mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti akan dibebaskan daripada tuduhan liwat, kata Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Azmin berkata, berdasarkan keterangan bukti dan hujah dikemukakan peguam Karpal Singh yang mewakili ketua pembangkang itu, beliau yakin Anwar akan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.

"Tiada pelan A, pelan B. Kita yakin Anwar akan dibebaskan (daripada tuduhan liwat)," katanya ketika ditemui pemberita selepas ceramahnya di Sungai Kantan di Kajang, Selangor, malam tadi.

"Kita yakin berdasarkan bukti dan keterangan yang dikemukan hari ini dan esok, Anwar akan terus dibebaskan," katanya yang juga ahli Parlimen Gombak.

Rayuan kes Liwat II Anwar oleh Putrajaya bermula semalam dengan mahkamah mendengar keterangan daripada Timbalan Pendakwaraya, Tan Sri Shafee Abdullah yang mewakili Putrajaya.

Sekiranya Anwar disabitkan bersalah dalam kes liwat itu, ia akan menggagalkan beliau untuk bertanding di kerusi DUN Kajang berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mac depan untuk penamaan calon, manakala 23 Mac dipilih sebagai tarikh pengundian.

"Dari awal kita tegaskan, 'no backup plan', kita yakin beliau bersih."

"Malah keyakinan ini berjaya dibuktikan dengan keputusan mahkamah tinggi dulu," katanya merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi pada 2012 yang membebaskan Anwar daripada pertuduhan liwat.

Dalam ceramahnya, Azmin turut menyeru pengundi Kajang mengerjakan solat sunat hajat memohon agar Anwar dibebaskan daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Saya merayu kepada umat Islam khususnya, marilah kita tunaikan solat hajat supaya Anwar dibebaskan daripada fitnah jahat ditaja Umno dan Barisan Nasional (BN)."

"Kalau benar esok (hari ini) Anwar dijatuhkan hukuman, itu adalah supaya beliau tidak boleh bertanding di Kajang," katanya.

Keputusan berkenaan rayuan Putrajaya terhadap kes Liwat II Anwar dijangka diputuskan selepas solat Jumaat, hari ini.

Azmin dalam ucapannya mendakwa, Putrajaya seolah-olah sudah mempunyai pasukan untuk menentang Anwar dalam kes tersebut.

"Seolah-oleh mereka sudah bersedia dengan pasukan mereka, bersedia dengan keputusan mereka."

"Umno, kamu boleh hukum Anwar, tetapi ada 1,000 Anwar lagi akan bangun menentang Umno."

"Jangan sentuh Anwar, rakyat akan bangun. Bukan sahaja di Selangor, Kajang, tapi dari seluruh Malaysia dari Sabah dan Sarawak."

"Jangan cabar kami. Jangan provoke kami."

"Umno tahu Anwar tidak boleh dikalahkan dengan pilihan raya, oleh kerana Umno sedar mereka tidak boleh kalahkan kita, maka Umno gunakan mahkamah untuk jatuhkan hukuman dalam masa 24 jam," dakwa Azmin, dan dijawab "Syaitan!" oleh penyokong PR dalam ceramah tersebut.

Azmin berkata, mahkamah juga diperalatkan Umno untuk menetapkan tarikh perbicaraan apabila Anwar terpaksa menghadiri perbicaraan mahkamah ketika kempen untuk PRK Kajang sedang berlangsung.

"Anwar terpaksa memberi tumpuan di mahkamah, jadi beliau tidak mampu turun beri penjelasan kepada rakyat Kajang," katanya.

Anwar bagaimanapun tidak kelihatan dalam sesi ceramah malam tadi.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment