KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga dilihat terkena sindrom '10 peratus' sebagaimana menteri terdahulu, Datuk Dr. Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Sindrom berkenaan dilihat berdasarkan kenyataan Tengku Adnan yang mengatakan tidak sampai 10 peratus pemilik hartanah di Wilayah Persekutuan yang membantah kenaikan cukai taksiran oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hadir sesi mendengar bantahan penilaian semula cukai itu.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Bandar Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi, berkata statistik 10 peratus yang dikatakan Ku Nan itu mengingatkannya tentang kenyataan Nong Chik berkaitan hanya 10 peratus penduduk Kampung Baru menentang pembangunan semula kawasan itu.

"Apabila saya membaca kenyataan Ku Nan tentang 10 peratus itu, saya teringat Raja Nong Chik yang turut memberikan statistik serupa ketika isu bantahan ke atas pembangunan semula Kampung Baru. Agaknya, menteri yang menjaga Wilayah Persekutuan ini memang memiliki sindrom 10 peratus," tegas beliau dalam nada sinis kepada Harakahdaily, hari ini.

Mengulas lanjut kenyataan Ku Nan itu, Zamri mempersoalkan bagaimana Ku Nan mendapat angka berkenaan, sedangkan ketika ini sesi pendengaran atau bantahan awam mengenai kenaikan cukai taksiran itu masih belum selesai.

Katanya, untuk meletakkan sesuatu angka mahupun statistik berkenaan sesuatu perkara itu memerlukan semua prosedur dimuktamadkan terlebih dahulu.

"Difahamkan, bantahan awam atau pendengaran itu akan berakhir 31 Mac ini. Masih banyak penduduk yang belum dipanggil untuk mendengar dan mendapatkan penjelasan daripada DBKL berkaitan kadar tersebut. Jelas, proses itu belum selesai. Bagaimana beliau dapat angka 10 peratus itu?" soal Zamri.

Sementara itu, alasan tiada sebarang semakan kenaikan kadar cukai dilakukan DBKL sejak 21 tahun yang kononnya mewajarkan kenaikan itu dilakukan tahun ini, Zamri berkata kegagalan itu bukan salah rakyat, sebaliknya DBKL yang membiarkannya tiada semakan hingga menyebabkan ia tertangguh.

Jelas beliau, ekoran kegagalan kerajaan membuat semakan terhadap kadar cukai secara berperingkat, menyebabkan kenaikan yang dicadangkan tahun ini begitu mendadak dan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat.

"Kita faham memang sudah lama semakan tidak dilakukan, tapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menaikkan kadar cukai hingga melebihi 100 peratus. Jika kenaikan itu dilakukan secara berperingkat, ia tidak begitu membebankan rakyat, lebih-lebih lagi pada tahun 2014 yang disifatkan tahun keperitan rakyat" tegas beliau lagi.

Dalam pada itu, Zamri menyeru warga kota Wilayah Persekutuan untuk terus peka dengan perkembangan isu ini, khususnya berkaitan bantahan awam yang dianjurkan DBKL itu.

Katanya, jika penduduk tidak menghadiri bantahan tersebut, kerajaan akan beranggapan rakyat bersetuju serta menggazetkan kenaikan tersebut dan seterusnya rakyat terpaksa membayar kadar cukai baru untuk pertengahan tahun kedua ini.

Lebih malang lagi, tambah Zamri rakyat terpaksa membayar kenaikan mendadak cukai tersebut dalam keadaan wan tersebut tidak tahu disalurkan ke mana.

"Peruntukan untuk DBKL sudah besar dari kutipan cukai daripada pihak komersial yang bagai cendawan tumbuh. Tapi kewangan tersebut tidak tahu ke mana, sedangkan Wilayah Persekutuan masih menghadapi masalah asas seperti masalah longkang yang tersumbat, dan sebagainya," tegas beliau.

Ku Nan, dalam kenyataannya semalam menegaskan tidak sampai 10 peratus daripada 166,000 pemilik hartanah yang membantah kenaikan cukai taksiran hadir sesi mendengar bantahan penilaian semula cukai itu

Beliau dilaporkan berkata walaupun DBKL telah mengambil inisiatif mengadakan sesi tersebut yang memberi ruang kepada orang ramai menyatakan pendapat mereka, namun jumlah yang hadir adalah sedikit.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment