Shahidan: BN takkan upah bomoh 'Do Re Mi'

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan kerajaan mengupah 'Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP' yang muncul di KLIA untuk 'membantu' mencari pesawat MH370 yang hilang dalam perjalanan ke Beijing.

"Tentang bomoh tadi, saya percaya tidak dibuat oleh Umno, oleh BN dan tidak dibuat oleh mana-mana agensi kerajaan kerana cara perlakuan bomoh itu."

"Pertama, dibuat di tempat orang ramai. Dia pakai pakaian macam cerita (P Ramlee, Laksamana) Do Re Mi."

"Jadi bayangkan, takkan kita nak buat macam itu," katanya sewaktu menjawab soalan wartawan.

Beliau diminta mengulas gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar siasatan dilakukan untuk mengetahui siapa yang menjemput bomoh tersebut.

Menurut Shahidan lagi, kerajaan sememangnya tiada kaitan dengan bomoh itu walaupun beliau dikaitkan dengan slogan '1Malaysia'.

"Jadi oleh kerana ada 1Malaysia di belakang, orang tuduh kerajaan yang buat."

"Kerja kita yang utama sekarang adalah mencari pesawat yang hilang," kata Shahidan lagi.

Curi perhatian

Bomoh yang dimaksudkan, Ibrahim Mat Zain bukan nama asing di kalangan sesetengah orang kerana iklan tentang khidmatnya kerap terbit dalam akhbar tabloid berbahasa Melayu.

Beliau juga sering kelihatan memakai sut lengkap bertali leher dan bersongkok serta pin baju berlogo 1Malaysia apabila melakukan upacara perbomohan.

Pada 10 Mac lalu, beliau mencuri perhatian ramai apabila muncul di KLIA menggunakan bubu mata pancing dan teropong yang diperbuat daripada buluh untuk meminta dan berdoa supaya melepaskan penumpang MH370 agar dapat dijumpai secepat mungkin.

Beliau sebelum ini dilaporkan mendakwa kehadirannya di KLIA adalah atas jemputan seorang VVIP.

Semalam, beliau sekali lagi muncul di KLIA bersama pembantunya dan tiga orang daripada mereka duduk di atas sehelai tikar.

Seorang daripadanya memegang tongkat, sementara dua orang lagi memegang dua biji kelapa di atas kepala dan memegang bakul dalam upacara mereka.
 
Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment