Sanggup keluar Umno jika Najib tolak hudud, kata Adun BN Kelantan

Kelantan akan mengatur pertemuan dengan perdana menteri untuk memastikan Kelantan boleh melaksanakan hudud, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. Gambar fail.Kelantan akan mengatur pertemuan dengan perdana menteri untuk memastikan Kelantan boleh melaksanakan hudud, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. Gambar fail.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad daripada Barisan Nasional (BN) menyatakan pendiriannya untuk sedia berhenti menyokong parti pemerintah jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak enggan membenarkan Kelantan melaksanakan hudud.

Alwi membuat persetujuan berkenaan setelah diajukan soalan oleh exco, Datuk Dr Mohammad Fadzli Hassan ketika memberi penjelasan mengenai usaha pelaksanaan hudud di negeri itu.

“Adakah sekiranya perdana menteri menolak sokongan mendapatkan kebenaran pelaksanaan hudud di Kelantan, pembangkang di sini hendak keluar BN?” soalnya.

“Setuju. Kalau benar halangan pelaksanaan hudud di Kelantan berpunca daripada pemimpin Umno, saya pun tidak akan berada lagi dalam politik Umno,” kata Alwi seperti dilaporkan portal Harakahdaily.

November lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam satu pertemuan bersama Najib turut membincangkan isu hudud dan susulan pertemuan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia akan mengadakan perbincangan lanjut bagi melihat halangan pelaksanaan hudud.

Semalam, Ahmad ketika menggulung perbahasan ucapan menjunjung kasih titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkata, pihaknya sedia untuk mengatur satu lagi pertemuan bersama Najib bagi memastikan Kelantan boleh melaksanakan hudud.

“Saya tidak pernah takut untuk berjumpa perdana menteri bagi mendapat sokongan pelaksanaan hudud di Kelantan,” katanya.

Sidang DUN semalam menyaksikan Alwi membuat gesaan sama untuk bertemu Najib untuk berbincang mengenai hal ehwal hudud di negeri itu.

“Kita hendaklah berpakat penyokong kerajaan dan pembangkang pergi jumpa perdana menteri untuk mendapat laluan bagi melaksanakan hudud di Kelantan."

“Kalau perkara kecil seperti royalti, menteri besar boleh jumpa PM, mengapa tidak perkara lebih besar iaitu hudud tidak boleh dilakukan,” katanya.

Dr Fadzli berkata, terdapat empat halangan terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan biarpun diluluskan pada persidangan DUN sejak 1993.

Katanya, halangan itu adalah kerenah pemimpin politik, Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan, Akta Mahkamah Syariah dan memperkasa pentadbiran syariah.

“Kerenah pemimpin politik dapat dilihat apabila menteri besar menerima surat amaran daripada perdana menteri ketika itu untuk mengenakan tindakan terhadap Kelantan sekiranya hudud dilaksanakan."

“Kita bukan takut kepada ugutan itu tetapi sekadar patuh kepada undang-undang. Sejarah masih kita ingat apabila kerajaan pusat mengisytiharkan Mageran di Kelantan pada 1977,” katanya.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment