KAJANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar memanfaatkan maklumat-maklumat yang disampaikan dalam PRK Kajang termasuk dakwaan terhadap bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan PKR tetap berpendirian bahawa Daim perlu disiasat dengan segera oleh SPRM.

Tambahnya, apa yang dibangkit oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Daim itu ada benarnya kerana beliau telah mengenali ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Sepatutnya pandangan Anwar tidak berhenti setakat itu. Kalau betul apa yang didakwa Anwar SPRM perlu manfaatkan dakwaan itu dan jalankan siasatan," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR di sini hari ini.

Shamsul berkata demikian bagi menjawab kononnya Anwar telah jadikan Daim tohmahan terbaru dalam kempen PRK Kajang.

Bahkan beliau pernah mempertikaikan mengapa Daim dan anaknya tidak tersenarai dalam 40 orang terkaya di Malaysia.

"Saya telah bangkitkan isu ini lebih awal ketika majalah Malaysia Business melaporkan 40 orang terkaya di Malaysia. Tetapi nama Daim tidak disenaraikan," katanya.

Justeru katanya, PKR akan mengumpul maklumat berkenaan dakwaan ini seterusnya mengetengahkan perkara ini kepada SPRM.

Ketika krisis ekonomi 1997, Daim yang ketika itu Menteri Kewangan berjaya menyelamatkan Malaysia keluar daripada kemelut global itu bersama Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Malah, Daim diakui sendiri oleh Mahathir sebagai arkitek ekonomi hebat dan banyak berjasa kepada kerajaan.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment