PKR isytihar Reformasi 2.0, gesa kejatuhan BN

 
Beberapa jam selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan atas tuduhan liwat dan dijatuhkan lima tahun penjara, para penyokongnya berhimpun di Kajang menggesa kejatuhan BN.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengisytiharkan permulaan Reformasi 2.0 di hadapan 500 orang di pusat gerakan pilihan raya parti itu di Kampung Sungai Sekamat, Kajang.


Beliau bertanya kepada hadiran sama ada mahu berjuang melalui pilihan raya atau turun ke jalanan, dan mereka bersorak tanda bersetuju.

"Walaupun kita menang dengan 52 peratus undi, tapi mereka masih berkuasa," katanya.

Azmin berkata Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan membuat keputusan esok sama ada untuk turun ke jalanan.

"Jika kita umumkan esok jam 9 malam di Dataran Merdeka, adakah anda bersedia? Jika kita umumkan esok jam 3 petang di Jalan Tuanku Abdul Rahman, adakah anda bersedia?" tanya Azmin dengan disambut oleh hadirin.

Anwar, yang mula berucap sejurus selepas jam 11 malam, mengulangi desakan untuk gelombang kedua reformasi ketika jumlah hadirin meningkat kepada lebih 1,000 orang.

"Ini adalah permulaan gelombang baru reformasi. Gelombang kedua ini tidak akan berakhir sehingga kita menawan Putrajaya," katanya.

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman ke atas Anwar dan membenarkan beliau diikatjamin RM10,000.

Pakatan pembangkang telah mengumumkan bahawa konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam esok akan bertukar menjadi satu perhimpunan ekoran sabitan ke atas Anwar.

Malah, tambah Anwar, belum pun apa-apa berlaku, ketua polis negara telah pun memberi amaran.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan perhimpunan esok akan berjalan dengan aman.

Anwar menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak menggunakan mahkamah untuk mensabitkannya dalam usaha untuk menggagalkan Serampang Kajang.

Sabitan Anwar telah menghilang kelayakannya untuk bertanding tetapi pemimpin pembangkang itu menggesa pengundi Kajang menyatakan pendirian mereka dengan membuat BN hilang deposit dalam pilihan raya kecil pada 23 Mac.

Hari ini, kata Anwar, beliau telah disabitkan dan pada 11 Mac, pengerusi DAP, Karpal Singh pula akan dihukum atas dakwaan menghasut.

"Kita mesti mempertahankan kepimpinan kita," katanya.

Antara yang hadir pada malam ini ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (kiri dalam gambar), MP DAP Seremban, Anthony Loke dan MP PAS Shah Alam, Khalid Samad.

Turut hadir ialah bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad MuhdTaib.

'12 calon disenarai pendek'

Serentak dengan itu, lebih 2,000 orang berhimpun di Stadium Kajang untuk menunjukkan perpaduan.

Sebahagian daripada mereka berkumpul di situ selepas timbul kekeliruan berhubung lokasi sebenar perhimpunan Anwar malam ini.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Anwar mengesahkan kepimpinan Pakatan akan membuat keputusan sama ada untuk melancarkan protes berterusan seperti Black 505 rali.

"Kita akan membuat keputusan esok," katanya.

Bagi calon penggantinya, Anwar berkata PKR telah menyenarai pendek 12 nama yang berpotensi.

Katanya keputusan untuk memilih calon pengganti itu akan dibuat esok atau selewat-lewatnya pada hari Isnin.

Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment