KUALA LUMPUR: PAS akan terus memberikan segala bentuk sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli-ahli PKR, serta seluruh penyokong Pakatan Rakyat dalam meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan sehingga keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman dapat diruntuhkan.

Demikian ditegaskan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan sebagai mengulas hukuman bersalah terhadap Anwar oleh Mahkamah Rayuan dalam kes liwat II, hari ini.

Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun, bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan bagi penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan, dengan jaminan RM10,000.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sungguh terkejut dan ingin merakamkan kekesalan yang tidak terhingga terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam proses penghakiman yang begitu tergesa-gesa menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rayuan pendakwa terhadap Kes Sodomi II pada hari ini.

PAS dan kalangan rakyat awam sudah tentu bertegas bahawa prinsip keadilan mestilah bukan sahaja ditegakkan dengan penuh telus dan bermaruah, tetapi ianya mestilah dapat dilihat ditegakkan dengan prosesnya yang begitu teliti, cermat dan berlaku adil mengikut prinsip undang-undang yang bebas.

Apatah lagi sekiranya kita merujuk kepada sistem keadilan perundangan Islam yang menekankan bahawa sedikit sahaja keraguan dalam proses perbicaraan itu sudah cukup untuk membebaskan seseorang yang didakwa.

Prinsip keadilan sebegini tidak dapat dilihat dalam kes yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini dengan sendirinya akan berterusan menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dalam negara kita ini.

PAS berkongsi kekecewaan ini dengan anggota keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, terutamanya isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menghadapi ujian yang sangat berat ini.

PAS akan terus memberikan segala bentuk sokongan kepada beliau dan ahli-ahli PKR, serta seluruh penyokong Pakatan Rakyat dalam meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan sehingga keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman dapat diruntuhkan.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment