PAS: AG perlu dedah justifikasi syor tutup 9 kes

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menuntut Jabatan Peguam Negara mendedahkan kertas siasatan dan justifikasi mengapa dokumen tersebut dipulangkan semula kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan syor supaya ditutup.

Timbalan ketuanya, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata ini kerana penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 (LKAN) yang disiasat SPRM bukanlah kes kecuaian kecil dalam prosedur pentadbiran dan kewangan kerajaan.

"Jabatan Audit Negara telah melakukan audit dengan berkesan, bagaimana pihak SPRM dan Jabatan Peguam Negara dengan begitu mudah ‘mengenepikan’ dakwaan salah laku yang telah didedahkan."

"Ini bukan kecuaian kecil dalam melaksanakan prosedur pentadbiran dan kewangan, ia adalah keraguan yang munasabah untuk disiasat dan diadili dengan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Gani Patail berkata penelitian jabatannya terhadap hasil siasatan SPRM mendapati tidak cukup keterangan bagi membolehkan satu pertuduhan jenayah bawah mana-mana undang-undang dikenakan terhadap mana-mana pegawai atau individu yang dinamakan di dalam kertas siasatan tersebut.

Menurutnya, dalam beberapa kes diperhatikan bahawa salah laku atau salah urus perbelanjaan yang telah dibangkitkan dalam LKAN 2012 dan disiasat oleh SPRM berikutan kecuaian pegawai, kelemahan prosedur pentadbiran, kewangan dan tadbir urus di kementerian, jabatan atau agensi yang berkenaan.

Dalam kenyataannya juga Nurul Islam berkata pihaknya pernah mendedahkan berhubung kontrak membekalkan enam komponen peralatan taman permainan bagi Projek Taman Dusun Bandar yang bernilai RM 194,200.

Bagaimanapun, katanya, penemuan audit mendapati hanya satu komponen sahaja dibekalkan dengan kos yang lebih tinggi iaitu RM230,000.

Sehubungan itu, Nurul Islam berharap SPRM bertindak profesional dan lebih efektif dalam melakukan siasatan dan mendesak Jabatan Peguam Negara tidak meremehkan kes yang didedahkan dalam laporan audit itu.
 
Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment