Pakatan selar Hishammuddin kerana hanya jemput BN untuk taklimat MH370

OLEH DIYANA IBRAHIM
Surat yang dihantar pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada ahli Parlimen Barisan Nasional bagi satu mesyuarat tertutup berhubung pesawat MH370.Surat yang dihantar pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada ahli Parlimen Barisan Nasional bagi satu mesyuarat tertutup berhubung pesawat MH370.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dari PKR hari ini mempersoalkan tindakan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana hanya menjemput ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan tidak pembangkang untuk sesi perbincangan tertutup berhubung isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Beliau berkata surat jemputan rasmi kementerian itu dihantar sendiri dan melalui fax berhubung perbincangan tertutup yang akan diadakan pada 18 Mac ini pada pukul 8.30 malam di Hotel Aloft, Kuala Lumpur.

"Saya merasa kesal kenapa wujud perkara begini, seolah-olah merendahkan anggota Dewan Rakyat lain."

"Tidak kira kami pembangkang atau BN, kami tetap ahli Parlimen yang diberi mandat kepada rakyat yang mempunyai hak mengetahui apa berlaku di negara ini," katanya di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Fuziah mendakwa keputusan untuk memilih parti menghadiri taklimat secara tidak langsung merendahkan integriti Parlimen.

"Saya ingin tahu salah ke ahli Parlimen ingin bertanya? Adakah ia dianggap memperlekehkan kedudukan dewan rakyat."

"Beliau (Hishammuddin) kena jelaskan kenapa surat itu hanya diberi kepada ahli Parlimen BN sahaja, malah menggunakan kepala surat rasmi kementerian itu," katanya.

Keadaan di Parlimen bertukar tegang apabila Ahli Parlimen Tanjung Karang Datuk Seri Noh Omar mencelah Fuziah.

"Pembangkang ni kerja tahu nak 'spin' sahaja kenapa nak persoalkan menteri buat kerja?" soalnya.

Fuziah menjawab ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak mempunyai masalah untuk menghormati kerahsiaan dan tidak mendedahkan kepada media sekiranya diminta untuk berbuat demikian.

"Kenapa tidak tanya kami, yang kami mahukan adalah bersama-sama mengetahui perkembangan dan situasi sebenar MH370."

"Kalau minta kami angkat sumpah menjaga kerahsiaan tidak mahu langsung mendedahkan pada media, Pakatan boleh buat semua itu," katanya.

Perbahasan Fuziah sekali lagi diganggu oleh Noh apabila menyifatkan pembangkang tidak boleh menyimpan rahsia.

"Buat apa mereka nak angkat sumpah pembangkang memang suka langgar sumpah."

"Kalau kita bawak masuk mereka belum apa-apa lagi mereka sudah sebarkan, taklimat tidak habis lagi tahu-tahu berita sudah keluar," katanya.

Dalam surat Kementerian Pengangkutan dikeluarkan pada 14 Mac 2014 itu kementerian pengangkutan menjemput ahli Parlimen BN untuk menghadiri taklimat kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapal.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment