Operasi diketuai M'sia jadi sasaran kritikan

 
Kritikan demi kritikan menimpa pihak berkuasa Malaysia yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur yang hilang tidak lama selepas berlepas ke Beijing, Sabtu lalu.

Antara lainnya, kritikan itu disuarakan oleh seorang pemerhati Amerika Syarikat yang membangkitkan mengenai perjanjian yang sepatutnya ditandatangani oleh negara terlibat dalam operasi antarabangsa seperti ini.


Bekas pengarah urusan National Transportation Safety Board (NTSB), Peter Goelz berkata perjanjian itu akan menggariskan kaedah untuk menjalankan siasatan besar seperti ini dan juga usaha untuk melibatkan negara berkepentingan.

Selain itu, ia juga dapat menangani khabar angin dan menyalurkan maklumat benar.

“Inilah yang paling teruk pernah saya lihat,” kata bekas pengarah urusan lembaga tersebut, katanya dalam satu laporan di laman CNN.

“Setiap kali berlaku kemalangan antarabangsa seperti ini, akan berlaku keadaan berkecamuk pada peringkat 24, 36 jam yang pertama. Sebab itulah ada perjanjian yang perlu ditandatangani oleh semua pihak."

Beliau mendakwa, Malaysia tidak menandatangani dan mematuhi perjanjian seperti itu.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dalam kenyataannya petang ini menegaskan bahawa Malaysia mematuhi protokol yang ditetapkan oleh International Civil Aviation Organisation sejak kejadian tersebut bermula.

Malaysia juga tidak mengambil apa-apa tindakan yang membahayakan operasi mencari dan menyelamat, katanya.

Bagaimanapun, Malaysia tidak dapat mendedahkan maklumat tertentu seperti isyarat radar yang menurutnya boleh menjejaskan siasatan atau usaha mencari pesawat.

Beliau yang menafikan bahawa Malaysia melengah-lengahkan operasi berkenaan turut membangkitkan mengenai laporan berhubung dakwaan mengenai kewujudan imej satelit dari China mengenai objek di Laut China Selatan.

Menurut Bernama, Hishammuddin berkata ia menyebabkan Malaysia menggembleng kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) digembleng untuk mengesan lokasi dan objek tersebut.

Bagaimanapun, imej berkenaan didapati tidak benar dan China menjelaskan bahawa membuat kesilapan dengan mendedahkan imej berkenaan yang didakwa dirakam Ahad lalu.

Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment