Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang adalah penting bukan sahaja kepada calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah, tetapi kepada Pakatan Rakyat dalam memperkukuh pengaruh mereka ke Putrajaya.

Wartawan Harakahdaily Mohd Nazri Abdullah, Muhammad Faizal serta jurufoto Wan Zahari mendapatkan Wan Azizah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Wan untuk potensi dan harapan beliau di Kajang ini.

Harakahdaily: PRK Kajang masih berbaki beberapa hari lagi, bagaimana kempen Kak Wan setakat ini serta penerimaan orang ramai.

Wan Azizah: Setakat ini Alhamdullilah penerimaan yang baik, memanglah ada penyokong Barisan Nasional (BN) yang tegar. Tapi ini lebih kepada petugas-petugas yang dimasukkan khas untuk meraih undi. Yang lain tu ada tempat-tempat Kak Wan pergi memberikan harapan yang tinggi, Insyaallah.

Harakahdaily: Setakat ini kalau dikira peratusan jelajah Kak Wan untuk kempen ini sejauh mana sudah dicapai.

Wan Azizah: Mungkin lebih sedikit daripada sebelum ini, tapi saya tidak mahu menjangkakan selesa kerana itu akan mengganggu kerja. Tapi setakat ini terutamanya kawasan-kawasan Tionghua, lebih menerima Kak Wan. Melayu tu Alhamdullilah lebih daripada pilihanraya yang lalu.

Harakahdaily: Maksudnya dari sudut kawasan semua tempat Kak Wan sudah pergi.

Wan Azizah: Iya-iya semua kawasan, kita cuba pergi ke semua tempat. Kajang tak lah besar sangat.

Harakahdaily: Mungkin ada pendekatan berbeza untuk orang Cina, Melayu di sini, bagaimana pendekatan yang digunakan.

Wan Azizah: Orang Melayu, mungkin masa mula-mula saudara Anwar telah bermula dekat masjid dan surau seperti tazkirah, itu lebih menyentuh. Kalau ikut komuniti Melayu ini, persekitaran surau dan tazkirah, jadi kita telah bertemu di situ. Di pasar-pasar dengan kaum wanita.

Rumah ke rumah susah sikit kalau siang hari sebab kebanyakkan mereka bekerja, yang tinggal di rumah pun tak ramai tetapi kita dapat bertemu dengan mereka.

Pengundi Cina, alhamdullilah waktu malam, lepas kerja kita buat ceramah dan ceramah mereka lebih meriah dari Melayu dan respon mereka lebih berbanding dengan pengundi Melayu.

Kita juga pergi rumah ke rumah, kita tidak boleh memandang remeh jentera BN yang sudah lama bertapak dan mempunyai sumber kewangan yang banyak. Namun kalau lihat saingan, kita berikan cukup hebat, dari segi bilboard dari segi poster dan bunting, kita boleh rasa kehadiran PKR itu sekurang-kurangnya menandingi BN.

Harakahdaily: Dari sudut persefahaman dan bantuan rakan-rakan parti khususnya PAS dalam PRK Dun Kajang, bagaimana Kak Wan melihatnya.

Wan Azizah: Saya kira terbaik, Dr Hatta, Khalid Samad, Dr Siti Mariah setiap malam berada di sini. Sekarang sesi parlimen, memang mereka datang. Kalau dipandang dari segi tuan rumah Dr Che Rosli, memang saya melihat rata-rata beliau hadir termasuk YB Iskandar, PAS Selangor memang bersama saya.

Muslimat PAS datang berjumpa Kak Wan, bersama-sama meraih undi, membuat culaan termasuk juga masak memasak.

Harakahdaily: Dari sudut isu yang dibawa, apa yang menjadi agenda bila bertemu dengan pengundi.

Wan Azizah: Salah satunya dari sudut keadilan sebab kes saudara Anwar, satu lagi adalah kes biasa iaitu kesesakan lalu lintas, kebersihan, rawatan sisa pepejal dan anak muda yang kita akan berikan mereka satu ruang dan peluang untuk mereka menghabiskan masa riadah dan apa-apa peluang pekerjaan, di kawasan sini ramai yang menjadi suri rumah dan mereka mempunyai masa yang boleh dipenuhi.

Selain itu juga isu jenayah, saya bercakap dengan seorang pengundi di sini jangan tanya rumah dimasuki perompak atau pencuri, tetapi tanya berapa kali telah dimasuki. Ini menandakan isu kadar jenayah yang membimbangkan.

Harakahdaily: Kita juga melihat PRK kali ini menjadi modal untuk parti lawan menghentam Kak Wan, bagaimana Kak Wan berhadapan dengan serangan lawan?

Wan Azizah: Pada mula memang geram jugak, tetapi saya kira boleh dijawab kerana kalau ada isu membabitkan saya dan telah lalui ini dapat mematahkan isu-isu apa yang dikatakan oleh Khairy Jamaluddin. Sebab mereka juga ada isu yang lebih penting dari isu boneka ini, saya kira itu tak lah isu yang berat. Sebenarnya dalam isu ini telah menimbulkan simpati.

Harakahdaily: Dalam tempoh berkempen setakat ini, apa kenangan manis Kak Wan bila bertemu masyarakat di sini.

Wan Azizah: Cara mana mereka menerima Kak Wan, cara mana mereka kata "saya akan sokong, saya akan undi dan berikan sokongan", saya rasa sungguh terharu. Saya bukannya biasa sangat dengan Kajang, kalau Pematang Pauh itu lainlah dan kalau penerimaan sedemikian, pertama kali jumpa, saya cukup terharu dan berterima kasih.

Itupun kerana Kajang mempunyai kadar penembusan internet yang tinggi, jadi mereka membaca alternatif media, penduduk yang berpendidikan, celik mata hati (insyaallah) dan saya kira itulah menyebab mereka menerima Kak Wan.

Harakahdaily: Ada juga bertanya bagaimana Kak Wan berdepan dengan pelbagai isu khususnya dalam isu hukuman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Wan Azizah: Kekuatan dari dulu lagi, kekuatan orang Islam kena sabar dan redha, bahagikan masa memang susah sebab kita selalu mengejar mana. Anak-anak Kak Wan semuanya sudah besar, bila pertama kali Kak Wan ceritakan mungkin menjadi calon Kajang, adalah sedih sikit, sebab bila jatuh hukum tu kami sugul la kan, biasalah. Bila Kak Wan kata "mama kemungkinan akan jadi calon", tapi mereka kata "takpa ma kami dah besar, ma boleh buat dan ma memang mampu lakukannya", jadi ini membuat saya kuat.

Harakahdaily: Datuk Seri Anwar sendiri, selepas dijatuhkan hukuman dan tidak dapat bertanding di Kajang, apa kata-kata Datuk Seri kepada Kak Wan untuk memberi inspirasi bertanding di sini.

Kak Wan: Dia kata akan sibuk, perbincangan akan terhad dan sama-sama mengetahui suasana politik di Malaysia mencabar sekali. Beliau suruh saya jaga kesihatan sebab saya ni tak la pergi aerobik atau apa-apa, beliau suruh saya jaga makan minum agar tidak letih sangat. Saya kadang kala tidak terdaya untuk aktif sangat, sebab saya biasa jadi calon dan kalau boleh akan bertemu dengan ke semua pengundi.

Harakahdaily: Hari sudah masuk hari ke sepuluh kempen, bagaimana Kak Wan melihat sokongan pengundi kepada Kak Wan.

Wan Azizah: Ok, insyaallah tapi jangan kita terlalu yakin dan rasa selesa sebab saya dah kena pada 2004. Masa itu memang, saya calon pilihan dan ada mereka kata memberi jaminan kemenangan tetapi bila dibuat kiraan dan disiarkan di televisyen saya dah kalah, sedangan SPR kata saya dah menang kiraan pertama tapi diumumkan kalah. Sebab itu kita mesti bekerja kerana kita bertanding di atas sebuah padang yang tidak rata.

Harakahdaily: Bagaimana Kak Wan melihat PRK Kajang ini, adakah PRK Kajang ini untuk Kajang semata-mata dan habis di sini?

Wan Azizah: Tidak, tidak, langkah ini memang kita fikirkan untuk membuat satu impak dalam isu negara kita ini, terutamanya isu perbedaan agama. Dalam hidup Kak Wan tidak pernah timbul satu masa akan berlaku sesuatu yang melampau batas seperti simbah darah ayam, campakkan kepala khinzir, ini suatu yang tidak pernah kita terbayang. Bila jadi sedemikian kita bertelagah, termasuk isu kalimah Allah.
Kita kena perluaskannya dan kalau ini langkahnya ia merupakan langkah permulaan. Kajang boleh dijadikan sebagai model, Pakatan Rakyat boleh memerintah dengan baik, dengan pengurusan yang lebih baik akan diberi barakah oleh Allah, itu yang kita mahukan. Kita mesti lakukan sesuatu, kalau ini merupakan sumbangan yang sedikit dari Kak Wan, insyaallah saya akan lakukan.

Harakahdaily: Berhubung dengan langkah Kajang yang dikaitkan dengan pertukaran Menteri Besar, bila Anwar tidak dapat menjadi calon dan diganti dengan Kak Wan, bagaimana Kak Wan melihatnya.

Wan Azizah: Saya fikirkan ini masih berjalan lancar, semalam saya bertemu dengan Menteri Besar, dan bercakap tentang aduan yang diterima tentang sampah dan beliau bercakap dengan YDP, dan ia akan berikan kerjasama untuk memperbaiki keadaan.

Hubungan yang baik Anwar dengan Tan Sri Khalid Ibrahim dan Kak Wan, serta exco-exco saya kira bahawa kerjasama ini berlaku dan kuat, pentadbiran yang baik dapat dibuktikan.

Harakahdaily: Itu dari sudut pentadbiran, bagaimana pula dari sudut kesatuan PKR sendiri di Selangor.

Wan Azizah: Perangai Kak Wan sebagai ibu, dalam keluarga itu ada perselisihan faham, ini biasalah. Apatah lagi dalam politik, Kak Wan akan tenteramkan keadaan, bila Kak Wan ada boleh lagi menyeleraikan perbezaan pendapat ini.

Harakahdaily: PRK Kajang menjadi medan penyatuan antara ahli komponen parti khususnya PKR, dan selepas ini akan ada kongres pemilihan. Adakah ini menjadi medan penyatuan atau saling mereka menonjol untuk berkempen.

Wan Azizah: Dua-dua boleh berlaku, sebab mereka mengambil peluang untuk sama-sama kempen. Lagipun ini merupakan ciri-ciri multi politik dan mereka datang untuk tolong Kak Wan, dalam masa yang sama mereka berkempen untuk pemilihan parti. Kempen yang sihat.

Harakahdaily: Pada pandangan Kak Wan, kongres akan datang mungkin Kak Wan melihat apa yang sedang berlaku dalam parti, apa Kak Wan lakukan.

Wan Azizah: Biasalah bila ada pemilihan akan wujud medan pertandingan serta kempen untuk mendapatkan sokongan kemenangan, itu perkara biasa tetapi jangan sampai kita berpecah. Walau apa berlaku, biar berlaku dengan sihat kerana kita masih ada urusan penting untuk dilakukan.

Harakahdaily: Tempoh kempen masih ada empat hari lagi, apa sentuhan terakhir Kak Wan?

Wan Azizah: Saya pasti kerajaan BN akan mainkan isu pesawat, saya kira orang Kajang tidak termakan isu tersebut. Insyaallah, Kak Wan akan mengulangi bertemu dengan pengundi dan setengahnya atas pagar itu kita jumpa mereka sekali lagi.

Harakahdaily: Apa pesanan Kak Wan kepada jentera dan petugas parti?

Wan Azizah: Pagi ini (kelmarin) Kak Wan sudah ke tempat pengundi awal, kita akan pastikan jentera kita menjaga peti undi tersebut sehingga sampai hari pembilangan undi. Kita tanya juga kenapa tidak mengira terus kertas undi tersebut, tetapi perkara itu tidak dilakukan kerana pengiraan perlu dilakukan serentak. Lagipun bukan ada apa-apa perbezaan pun.

Harakahdaily: Pendapat Kak Wan tentang penyebaran gambar super impose yang tidak senonoh mengenai calon BN.

Wan Azizah: Kita kutuk, kita tidak setuju sama sekali, kalau nak bertanding kita bercakap tentang isu. Tidak ada serangan peribadi, ini perlu ditegah. Mereka yang melakukannya perlu ditarbiyah. Kita sudah menyimpang dari budaya yang sepatutnua kita lakukan. Kempen tersebut perlu dihentikan segera sama ada BN mahupun PKR.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment