Mungkinkah keputusan rayuan Liwat II diumum hari ini?

 
Rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Liwat II bersambung hari ini dengan peguam Ram Karpal meneruskan penghujahannya mengenai sampel air mani yang diambil daripada pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ram membayangkan kepada mahkamah semalam bahawa beliau memerlukan dua jam lagi untuk mengakhiri hujahnya. Beliau dijangka menyediakan hujah selanjutnya mengenai isu integriti sampel air mani itu dan kemungkinan sampel itu telah diganggu.

Tumpuan utama pihak pendakwa dan pembela bergantung ialah integriti sampel itu kerana hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah semasa membebaskan Anwar, mendapati ia tidak selamat untuk membuat sabitan kerana sampel itu mungkin telah diganggu.

Ia telah didedah di mahkamah bahawa pegawai penyiasat Supt Jude Blacious Pereira telah membuka beg plastik yang tertutup dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan meletakkan 12 sampel dalam sampul surat berasingan sebelum menyerahkannya kepada ahli kimia untuk dianalisis.

Walaupun peguam yang dilantik kerajaan, Datuk Muhammad Shafee Abdullah bertegaskan bahawa rantaian bukti tidak terjejas walaupun beg plastik dari HKL dibuka, Ram pula menyatakan sebaliknya berkaitan "keaslian" sampel air mani, walaupun diperiksa empat hari selepas kejadian yang dikatakan itu.

Selepas kejadian liwat yang dikatakan pada 26 Jun 2008 di kondominium Desa Damansara, Saiful memberi keterangan bahawa dia tidak mandi dan tidak membasuhnya dalam usaha "untuk menyimpan bukti". Dia membuat laporan polis dua hari kemudian dan sampel itu diambil pada malam 28 Jun dan awal pagi 29 Jun.

Sampel itu kemudiannya disimpan oleh Pereira, bukan dalam peti sejuk seperti yang diarahkan oleh doktor HKL, tetapi dalam kabinet logam di pejabatnya dan kemudian diserahkan kepada ahli kimia pada malam 30 Jun.
                                  
Shafee juga telah membuat hujah teknikal bahawa ujian mahkamah hendaklah di atas imbangan kebarangkalian, manakala peguam kanan Karpal Singh berkata itu salah kerana mahkamah perlu menerima pakai pendekatan 'melampaui keraguan yang munasabah'.


Dalam prosiding jenayah, pihak pendakwaan sering diperlukan untuk
membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah manakala imbangan kebarangkalian biasanya diguna pakai dalam kes-kes sivil.

Selepas penghujahan pihak pembela pagi ini, Shafee akan meneruskan penghujahan balas. Beliau mengambil dua setengah jam dalam berhujah kes pendakwaan semalam.

Adalah menarik untuk melihat sama ada panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, akan menyampaikan keputusannya hari ini atau sebaliknya mengumumkannya pada tarikh yang lain.

Bagi Anwar, keputusan itu boleh menjejaskan usahanya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang di mana tarikh pencalonan telah ditetapkan pada Selasa depan.

Malaysiakini membuat laporan langsung hari kedua prosiding rayuan pendakwa terhadap penghakiman dalam Liwat II.

LAPORAN LANGSUNG

10:40am: Kira-kira 80 penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berkumpul satu kawasan bersebelahan dengan Istana Kehakiman bagi menyatakan sokongan.

Menurut seorang penyokong dari Pulau Pinang, mereka berhimpun secara aman di kawasan itu kerana tidak dibenarkan memasuki mahkamah.

"Mereka (anggota polis) tidak bagi masuk jadi kita berlumpul di sini lah, tidak mengapa sini redup bawah pokok, kita datang nak sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja," katanya.

Kumpulan itu diawasi oleh beberapa orang anggota polis.

10.40am: Persidangan mahkamah ditangguhkan.

10.30am: Ram seterusnya mempertahankan kewibawaan pakar luar negara yang dipertikaikan oleh Shafee sebelum ini.

10.30am: Ram berkata Shafee mengambil pandangan simplistik terhadap undang-undang dalam mengenepikan semua itu.

Beliau menambah bahawa beban bukti memerlukan integriti sampel itu dijamin.

"Bagaimanapun, dalam kes ini ia tidak begitu.... Terdapat banyak soalan. Jika terdapat anomali ia sepatutnya memihak kepada tertuduh."

10.20am:  Ram berkata Shafee mengambil pandangan simplistik dengan berkata Jude hanya memotong membuka beg plastik HKL tetapi tidak mengganggu sampel itu.

Namun begitu, kata Ram, berlaku pencemaran yang tidak dapat dijelaskan.

"Terdapat dua jenis pencemaran, secara langsung dan tidak langsung."

"Kes-kes yang dirujuk oleh Shafee menunjukkan tiada apa yang pelik tetapi dalam kes ini, walaupun jika dikatakan Jude memotong plastik itu, tidak ada penjelasan mengenai degradasi dan pencemaran."

10.10am: Peguam Ram berhujah ada kemungkinan 18 allele berpunca dari pegawai penyiasat Jude Pereira kerana beliau menyimpan sampel untuk itu satu tempoh masa.

"Bukan untuk kita bagi membuat spekulasi, tetapi bagi pihak pembela untuk mewujudkan keraguan yang munasabah," kata Ram sambil menambah ia adalah wajib kepada pihak pendakwa untuk mengecualikan kehadiran pihak ketiga itu.

9.50am: Ram mempersoalkan keterangan ahli kimia Dr Seah Lay Hong mengenai tuala itu kerana pada mulanya beliau berkata 18 allele itu penting tetapi kemudian apabila ditanya lebih lanjut dalam keterangannya, beliau berkata ia tidak penting.

Ram juga menimbulkan persoalan berkaitan keterangan seorang lagi ahli kimia, Nor Aidura Saedon mengenai pemeriksaannya ke atas tuala tersebut.

Menurut Ram, Nor Aidura berkata alasan beliau tidak melaporkan mengenai 18 allele itu kerana ia adalah di bawah ambang (threshold) dan ia mungkin satu 'starter'.

"Saya katakan kepada beliau ia bukan starter, dan ia tidak mengikut garis panduan Jabatan Kimia dan dia bersetuju."

Pokoknya, kata Ram, 18 allele terdapat di situ, tetapi ahli kimia itu tidak menjalankan ujian lanjut ke atasnya kerana ia adalah dari penyumbang lelaki yang lain.

"Ini menunjukkan terdapat pencemaran di dalam sampel intim itu dan kita tidak tahu siapa penyumbangnya itu."

9.40am: Ram seterusnya menyentuh tentang pencemaran.

Beliau berkata tuala 'Good Morning' diambil dari sel lokap Anwar mempunyai satu ciri yang tidak dikenali dengan kehadiran 18 allele dalam bacaan DNA.

18 allele, katanya, juga terdapat dalam swab rektum tinggi. Ini bermakna DNA orang ketiga ditemui dalam dubur tetapi tinggi sehingga rektum."

Katanya, terdapat dua cara ia boleh berlaku. Melalui hubungan seksual, air mani dipancut dalam dubur.

Menurutnya lagi, pengadu (Saiful) berkata dia bukan homoseksual, jadi Ram berkata, bagaimana seseorang boleh menjelaskan kehadiran 18 allele di situ.

Ahli kimia berkata, kehadirannya boleh disebabkan oleh 'drop-in' (pencemaran), tambahnya.

9.24am: Menyambung penghujahannya hari ini, peguam Ram Karpal berhujah bahawa sampel peri-anal menunjukkan tanda degradasi tetapi swab rektum tinggi tidak menunjukkan tanda degradasi.

Semua sampel itu, katanya, diambil pada kira-kira masa yang sama dan semua harus menunjukkan tanda-tanda degradasi.

Walau bagaimanapun, katanya, swab rektum yang tinggi tidak begitu.

Ini, hujah Ram menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan ia telah diganggu.

9.14pm: Mahkamah mula bersidang dengan panel Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh.

Balia menegur bahawa prosiding itu lewat 15 minit.

"Apabila kita katakan jam 9 pagi, ia mesti jam 9 pagi."

Peguambela Ram Karpal berkata mereka tiba pada masanya dan ia mungkin kerana mahkamah berpendapat peguam Karpal Singh akan datang.

"Karpal akan datang kemudian," katanya.

Hakim Balia mahu peguam menjalankan prosiding secara profesional.

Balia mengingatkan mereka supaya tidak membaca dari penghujahan mereka kerana hakim telahpun membacanya.

9.10am: Keadaan di luar rumah mahkamah sunyi dan tenang. Terdapat kira-kira sedozen anggota polis berlegar-legar di sekitar kawasan itu.

8.56am: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya yang juga Presiden PKR, Datin SeriDr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di Istana Kehakiman bersama-sama dengan tiga orang anak mereka.

Mereka menuju ke Mahkamah Rayuan yang terletak di tingkat dua.

8.55am: Datuk Muhammad Shafee Abdullah, peguam yang dilantik oleh kerajaan untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rayuan tersebut, memasuki mahkamah.

Juga kelihatan di mahkamah ialah beberapa pemerhati antarabangsa dan juga penyokong PKR. Ruang dewan mahkamah semakin dipenuhi.

8.50am: Beberapa kedutaan menghantar dua wakil, kata kakitangan mahkamah. Hari ini, lebih ramai meminta pas masuk dan beberapa wartawan - sepertimana semalam - tidak dapat masuk ke dalam dewan mahkamah.

8.28am: Kawalan ketat di semua pintu masuk di Istana Kehakiman di Putrajaya, dengan anggota polis berpakaian seragam membantu polis bantuan mahkamah.

Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment