MH370: Malaysia bolak-balik, makin tambah keliru, kata laporan

Maklumat yang disampaikan pihak berkuasa Malaysia mengenai MH370 kerap bercanggah antara satu sama lain menimbulkan kekeliruan. Gambar fail menunjukkan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya (kiri).Maklumat yang disampaikan pihak berkuasa Malaysia mengenai MH370 kerap bercanggah antara satu sama lain menimbulkan kekeliruan. Gambar fail menunjukkan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya (kiri).Perkembangan dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 kini semakin mengelirukan selepas pihak berkuasa berpatah balik dalam kenyataan mereka berhubung bila sistem komunikasi penting di pesawat itu dipadamkan.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan penerbangan itu, Ahmad Jauhari Yahya pada sidang media semalam berkata, tidak jelas bila sebenarnya satu daripada sistem pengesan automatik pesawat itu ditutup dan kata-kata terakhir dari kokpit, dipercayai oleh pembantu juruterbang, yang mungkin dilakukan sebelum sistem komunikasi dipadam.

Ini bercanggah dengan kenyataan awal pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengatakan sistem komunikasi ditutup pada 1.07 pagi 8 Mac – sebelum rakam keluar secara lisan dihantar kepada menara kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, kata laporan di The Sydney Morning Herald.

Ahmad Jauhari berkata semalam, sistem komunikasi iaitu Sistem Laporan dan Komunikasi pesawat (ACARS), berfungsi seperti biasa pada 1.07 pagi tetapi kemudiannya gagal menghantar laporan kemas kini seterusnya yang dijadualkan pada 1.37 pagi.

“Kita tidak tahu bila sistem ACARS dipadamkan,” katanya.

Sistem komunikasi kedua, satu transponder yang berkomunikasi dengan radar kemudiannya berhenti berfungsi pada 1.21 pagi.

Susulan daripada kenyataan Jauhari,  Hishammuddin enggan menjawab soalan media mengenai mengapa beliau pada sehari sebelumnya menyatakan ACARS ditutup pada 1.07 pagi.

“Apa yang saya cakap semalam berdasarkan fakta, disokong dan disahkan,” katanya dan menambah ketidakpastian mengenai kronologi seterusnya diterjemahkan untuk menemui lokasi pesawat dan rakaman datanya.

Isu masa itu, bagaimanapun, bukan satu-satunya yang mengelirukan mengenai siasatan itu, setakat ini.

Sementara Putrajaya menafikan laporan Malaysia menolak bantuan daripada agensi undang-undang antarabangsa dan bekerjasama dengan FBI dan Interpol sejak hari pertama misi mencari pesawat itu, Reuters melaporkan ada pegawai AS melahirkan kekecewaan terhadap cara Malaysia mengendalikan siasatan itu.

Laporan itu memetik dua pegawai keselamatan AS sebagai berkata, kerajaan Malaysia masih belum menjemput FBI menghantar pasukannya ke Kuala Lumpur.

Reuters berkata, FBI yang mempunyai pengalaman dalam menyiasat pesawat terhempas, dan satu lagi agensi penguatkuasa undang-undang AS sudah menunjukkan keinginan untuk menghantar pasukan ke Kuala Lumpur, tetapi tidak berbuat demikian selagi tidak dijemput secara rasmi.

“Malaysia bekerjasama dengan penyiasat antarabangsa dan pihak berkuasa penerbangan sejak hari pertama,” kata Hishammuddin pada sidang media semalam.

Naib Presiden PKR, N Surendran, berkata percanggahan kenyataan oleh pihak berkuasa Malaysia, yang dipaparkan oleh media asing seperti NCC, amat memalukan.

“Najib kata ACARS dipadamkan pada 1.07 pagi, CEO MAS Ahmad Jauhari pula kata ACARS tidak menghantar laporan untuk 30 minit seterusnya."

“Adalah penting untuk memastikan sama ada wujud tindakan sengaja memadam ACARS, perlu diingat pembantu juruterbang kata ‘Baiklah, selamat malam’ pada 1.19 pagi dan tidak melaporkan sebarang kerosakan ACARS pada masa itu,” katanya.

Putrajaya juga dikritik media China berikutan maklumat yang bercanggah mengenai pesawat MH370 yang masih hilang.

China Daily mempersoalkan mengapa hanya selepas seminggu pesawat itu hilang, baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengatakan kehilangan MH370 mungkin perbuatan ‘sengaja’ dan pesawat itu terbang beberapa jam lagi selepas meninggalkan laluan asalnya ke Beijing.

Akhbar itu juga mempertikaikan sama ada Malaysia berkongsi semua maklumat yang dikumpul.

“Percanggahan dan maklumat sedikit demi sedikit yang diberikan Malaysia Airlines dan kerajaannya menyukarkan usaha mencari dan keseluruhan insiden jadi lebih misteri."

“Apa lagi yang mereka ketahui tetapi tidak dikongsi kepada dunia,” katanya.

Sumber Berita Dari TMI

No comments:

Post a Comment