SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili hari ini mengenai perlunya menguatkuasa Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 dalam penstukturan semula industri itu di Selangor.

Abdul Khalid berkata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Khusrin Munawi telah menulis kepada ketua setiausaha KeTTHA memberi penjelasan berhubung penguatkuasaan WSIA dalam pengambilan alih aset empat syarikat konsesi air di Selangor oleh kerajaan negeri.

"Saya mahu menentukan bahawa pengambilan alih aset syarikat konsesi itu dilakukan selaras dengan pembinaan loji rawatan air Langat 2 yang telah pun saya beri perintah pembangunan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco negeri di sini semalam.

Abdul Khalid berkata Seksyen penguatkuasaan 114 WSIA dalam penstrukturan industri air di Selangor akan mengurangkan kos mengambil alih aset empat syarikat itu sebanyak RM2 bilion kepada RM7.65 bilion.

Empat Syarikat konsesi itu ialah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash).

Mengenai langkah catuan air di Selangor, Abdul Khalid berkata langkah itu akan diteruskan buat beberapa ketika lagi walaupun hujan turun di kawasan tertentu dalam beberapa hari lalu.

Abdul Khalid berkata paras air di beberapa ampangan di Selangor sudah mencecah paras 65 peratus tetapi di ampangan Sungai Selangor masih rendah pada kira-kira 39.79 peratus.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment