KOTA BHARU: Ketika itu Sultan Mansor mengarahkan hulubalang berkawal di pintu masuk ke Kota Bharu bagi memastikan wanita-wanita yang datang ke bandar menutup aurat.

Dan sekiranya ada wanita tidak menutup aurat, mereka akan dilumurkan dengan cat hitam dan diarah balik semula ke rumah.

“Peraturan tersebut membuatkan wanita-wanita yang tidak tutup aurat takut hendak datang ke Bandar Kota Bharu,” kata anggota Exco, Datuk Nassuruddin Daud.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau itu berkata, langkah kerajaan negeri sekarang tidaklah sampai ke tahap seperti berlaku pada era Sultan Mansor bagi memastikan wanita Islam menutup aurat.

Katanya, kerajaan negeri lebih mengutamakan pendekatan mendidik bagi menyedarkan wanita Islam terhadap tanggungjawab kepada agama.

Menjawab soalan Mohd Nazlan Mohd Hasbullah (PAS-Limbongan) pada persidangan Dun hari ini katanya, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan juga mengenakan kompaun kepada mereka yang engkar.

Menurutnya pada 2012 terdapat 108 kes dikenakan kompaun terhadap wanita Islam yang tidak menutup aurat. Dan tahun lepas berkurangan kepada 21 kes.

“Bagaimanapun kakitangan wanita Islam yang bekerja dengan kerajaan negeri sudah mencapai tahap 100 peratus menutup aurat,” katanya.

Ekoran kesedaran itu beliau berkata, perniagaan busana Muslim sekarang semakin mendapat sambutan orang ramai di Kelantan.

Malah katanya, Pasar Besar Siti Khatijah, Bazar Tok Tok Guru dan Bazar Tengku Anis terkenal sebagai hub tudung dan pakaian menutup aurat di sini.

Manakala Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Kesihatan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, peraturan memperagakan wanita sebagai model iklan hendaklah dipastikan menutup aurat bagi yang berusia 12 tahun ke atas.

“Iklan tersebut termasuk juga wanita bukan Islam yang dijadikan model,” tambahnya menjawab soalan tambahan Mohd Zaki Ibrahim (PAS-Kelaboran).

Sebelum itu Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri mengambil beberapa langkah bagi melaksanakan dasar penjimatan ekoran kenaikan harga barang sekarang.

Antaranya mengeluarkan surat arahan supaya setiap jabatan dan agensi berbelanja mengikut keperluan dan secara bijaksana.

Selain itu mengedarkan 11 garis panduan berjimat cermat serta memupuk kesedaran berjimat cermat sejak 23 tahun lalu.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, penubuhan Perbadanan Pertanian Kelantan akan dibentang pada persidangan Dun akan datang.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment