DAP tolak kesediaan Hisham beri taklimat

MP Gelang Patah Lim Kit Siang menolak kesediaan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mengadakan sesi taklimat khas misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 buat Pakatan Rakyat.

Lim berkata Pakatan tidak akan membuang masa pihak yang terlibat dalam misi tersebut untuk memberikan taklimat tentang perkara yang sudah diketahui umum.

"Ia sangat tidak bertanggungjawab pada waktu yang sangat kritikal ini."

"Kenapa paksa mereka hadir ke majlis makan malam yang tidak membentangkan apa-apa perkara baru?" kata Lim sewaktu ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Sebaliknya, Pakatan kata Lim akan mencadangkan satu jawatankuasa khas parlimen yang akan mengkaji dan menyokong siasatan selepas misi mencari dan menyelamat yang masuk hari ke-12 hari ini berakhir.

Lim yang juga ketua parlimen DAP turut membidas taklimat semalam yang dibuat hanya untuk anggota Parlimen BN tetapi tidak diadakan di Parlimen.

"Alasan bahawa kita tidak memohon taklimat sedemikian adalah alasan yang tempang."

"Di mana perbincangan hal ehwal kerajaan mahu diadakan jika tidak bukan di Parlimen?" katanya.

Sementara itu, Pengerusi kelab penyokong kerajaan (BBC) Tan Sri Shahrir Samad dalam reaksi segeranya mempertahankan tindakan pihaknya memohon taklimat khas daripada Hishammuddin.

Walaupun taklimat itu diatur oleh Kementerian Pengangkutan, Shahrir berkata BBC sudah menyatakan hasrat mereka untuk menanggung perbelanjaan majlis semalam.

Mengulas hasrat Lim untuk mewujudkan PSC dwipartisan bagi menyiasat kehilangan MH370, Shahrir berkata sekarang bukan masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

"Apabila kerja (mencari dan menyelamat selesai), pasti ada masa untuk usul dan perbahasan. Isu ini tidak akan hilang begitu sahaja," kata Shahrir.
 
Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment