KAJANG: Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan Datuk Seri Shahrizat Jalil menilik muka sendiri sebelum menuduh beliau boneka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap di hadapan pengundi Cina di Sungai Chua malam tadi, calon PKR bagi PRK Kajang itu berkata, beliau simpati terhadap Ketua Wanita Umno itu yang kehabisan isu sehingga terpaksa membuat serangan peribadi terhadap beliau.

"Dia tuduh saya boneka. Kenapa dia nak sakit hati dengan saya?"

"Saya, kalau wanita bertanding, saya bangga. Tak kisah la PAS ke, BN ke, DAP ke, MCA ke, saya hormat."

"Kita berkempen atas isu, bukan serang peribadi," kata beliau yang lebih mesra dengan panggilan Kak Wan.

Shahrizat ketika berkempen di sini beberapa hari lalu berkata, Wan Azizah telah dijadikan alat kerakusan kuasa politik Anwar.

Beliau mendakwa, Wan Azizah diibaratkan sebagai boneka Anwar kerana menjadi payung terjun sejurus Ketua Pembangkang itu tidak dibenarkan bertanding pada kali ini.

Menjawab serangan itu, Kak Wan berkata beliau bertanding kerana mahu melawan ketidakadilan yang berlaku bukan sahaja terhadap suami, malah kepada rakyat keseluruhan.

Berbeza dengan Shahrizat kata beliau, yang selesa melihat suami mengguna wang rakyat dalam kes NFC, tanpa rasa bersalah.

"Saya bertanding sebab angkara Umno. Mereka zalimi keluarga saya."

"Hari ini hari saya, akan datang orang lain pun akan terima nasib yang sama."

"We must fight for justice," tegas beliau.

Ceramah dalam keadaan hujan renyai-renyai malam tadi turut dihadiri Penasihat DAP Lim Kit Siang serta Naib Ketua Dewan Muslimat PAS, Dr Siti Mariah Mahmod.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment