BN akui bina masjid kerana projek

Oleh MAT ZAIN MAT ISA
AKHIRNYA, Barisan Nasional (BN) Terengganu mengaku bahawa pembinaan sebegitu banyak masjid di negeri itu oleh kerajaan pimpinannya bukan kerana memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Setelah hampir sedekad PAS mempersoalkan keghairahan luar biasa kerajaan negeri membina dan terus membina masjid di serata negeri, kini baru BN mengiyakan bahawa memang pembinaan itu lebih didorong agenda politik pemimpinnya ketika itu.
Kenyataan terbuka seorang anggota Exco kerajaan negeri dua minggu lalu bagaikan menempelak perancangan tidak teliti itu.
Terengganu memang memiliki jumlah masjid yang agak banyak, mungkin antara negeri paling banyak masjid di negara ini.
Bahkan, jika dinisbahkan kepada jumlah penduduknya, kemungkinan untuk negeri itu mengungguli senarai nisbah terkecil penduduk berbanding jumlah masjid amatlah cerah.

Menurut sumber Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), jumlah masjid direkodkan pihaknya ialah 498 buah, manakala surau 1,838 buah. Itu tidak mengambil kira masjid dan surau persendirian yang jumlahnya juga bukan kecil.
Masjid-masjid di Terengganu, terutama yang dibina selepas 2004, kebanyakannya sengaja dibina gah dan indah, luaran dan dalamannya.
Keghairahan menambah bilangan masjid dalam masa singkat di awal BN mengambil alih semula kerajaan negeri daripada PAS sedekad lalu amat terserlah.
Ia bukan sekadar agenda pemulihan atau mengemaskini pentadbiran dan pengurusannya, malah dijadikan agenda utama kerajaan negeri.
Ia diproklamir ke serata negeri dan dijadikan salah satu slogan yang diratib berulang kali, bukan sahaja oleh para pemimpin dan pendukung BN, malah oleh menteri besar ketika itu sendiri.
Tidak cukup sekadar diuar-uarkan lewat media rasmi kerajaan dan media arus perdana, rakyat dipastikan tidak terlepas “memuji BN” atas tindakan yang kononnya membuktikan keprihatinan parti itu menegakkan syiar Islam.
Maka, dapat dilihat di serata negeri ketika itu papan tanda-papan tanda yang sengaja didirikan dengan penuh gah di tempat-tempat strategik di tepi jalan memberitahu agenda “satu Dun satu masjid”.
BN menjadikan suatu kemestian bagi kerajaan negeri pimpinannya untuk membina sebuah masjid baru untuk setiap kawasan Dun. Bermakna, dalam tahun pertama pemerintahannya, dirancang dan dimulakan pembinaan paling kurang 32 masjid baru serata negeri.
Rakyat mempersoalkan apa perlunya dibina masjid baru di beberapa qaryah. Sedangkan masjid lama masih relevan dengan keperluan masyarakat setempat, sama ada dari segi struktur bangunan mahu pun kapasitinya.
Bahkan, ada juga masjid baru dibina di lokasi kurang strategik dan menjadi alasan tidak dikunjungi para jemaah. Hal ini jelas dapat dilihat antaranya dalam kes Masjid Lak Lok, Besut.
Di mana hingga kini selepas beberapa tahun siap dan digunakan, masjid baru gagal menarik kehadiran jemaah setempat.
Sebaliknya, mereka lebih selesa terus berjemaah di masjid lama yang lebih mudah dikunjungi dan masih “lega” untuk memuatkan hadirin. Hanya solat Jumaat dibuat di masjid baru.
Kebanyakan pembinaan masjid baru pula mengutamakan keindahan reka bentuk dan dekorasi, sesuatu yang tidak sepatutnya dilebih-lebihkan.
Sedangkan sepertimana yang sering diluahkan rakyat, usaha mengimarah dan memakmurkan masjid-masjid itu tidak seimbang dengan kesungguhan menghiasinya. Akhirnya, kebanyakan masjid lesu dan sunyi daripada aktiviti.
Manakala jumlah anggota jemaah hariannya kadang-kadang tidak melebihi jumlah tiang masjid.
Sepuluh tahun PAS mempersoalkan keghairahan BN dalam hal itu. Bahawa selain pembinaan masjid-masjid itu tidak mengambil kira keperluan sebenar qaryah terbabit, ia juga dihidu mempunyai agenda politik “mengenyangkan tembolok” para kontraktor kroni pemimpin tertentu BN ketika itu.
Namun, 10 tahun itu juga PAS diperlekehkan kembali oleh BN. Kononnya pemerintahan singkatnya selama sepenggal (1999-2004) gagal menjulang syiar Islam, antaranya kerana tidak mampu membina banyak masjid.
BN sebaliknya dengan angkuh mendakwa “lebih cakna kepada Islam” apabila membuktikan kesungguhan membina sebegitu banyak masjid di serata negeri.
Tanpa diduga, sebuah akhbar harian edisi Terengganu awal bulan ini membongkar isu ‘Masjid Gah Tapi Suram”. Terjahan media itu bagai memaksa pemimpin kerajaan negeri memperakui fenomena tersebut.
“Kita tidak lagi bina (masjid) berdasarkan “satu masjid satu Dun”, tetapi berdasarkan kajian dari sudut keperluan jemaah di kawasan terbabit. Kalau keperluannya hanya untuk 500 orang, kita tidak akan bina untuk 1,000 orang”, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib.
Nah! Bukankah itu membenarkan dakwaan PAS sejak sedekad lalu? Lebih mengejutkan ialah apabila Exco sama turut “memperakui” bahawa ada sebilangan masjid yang dibina di atas dasar memberikan projek kepada pihak tertentu semata-mata.
“Kita mahu pastikan ia diimarahkan semaksimum mungkin dan kita tak akan buat masjid atas sebab memerlukan projek. Kita akan buat atas keperluan”, tambahnya.
Menurutnya, langkah tersebut berbeza dengan kerajaan sebelumnya yang mementingkan keindahan binaan, selain tidak mengkaji keperluan sebenar di kawasan terlibat dan ada kalanya hanya untuk memenuhi permintaan pihak tertentu (kontraktor kroni?).
 
Sumber Berita Dari Blog KedahLaNie

No comments:

Post a Comment