Bernard Dompok letak jawatan presiden Upko

 
Desas-desus mengenai pengunduran Tan Sri Bernard Dompok dari jawatan presiden parti Upko akhirnya terjawab hari ini apabila beliau secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya.

Bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu telah mengumumkannya peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 21 Mac.

Bercakap dalam sidang media di sebuah resort di Kampung Putaton, Penampang hari ini, Dompok berkata pengundurannya dari jawatan itu bagi memberi laluan kepada pemimpin lain untuk menerajui parti itu.

“Keputusan yang dibuat hari ini bukan satu yang baru saya fikirkan, dan ia satu keputusan yang tepat,” kata Dompok, 64.

Desas desus mengenai peletakan jawatan itu mula berlegar sejak minggu lalu dan dilaporkan oleh akhbar tempatan pada awal minggu ini.

Dompok dilaporkan telah memaklumkan ahli parti mengenai niat beliau untuk bersara selepas gagal mengekalkan kerusi parlimen Penampang dalam pilihan raya umum Mei tahun lalu.

Jawatan berkenaan kini dipangku oleh MP Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau, yang dipilih sebagai timbalan presiden dalam pemilihan parti pada Oktober tahun lalu.

Kegagalan Dompok dalam mengekalkan kerusi parlimen Penampang dalam pilihan raya umum lalu dilihat ramai pemerhati politik sebagai penghujung kepada karier politik beliau.

Sebelum ini, beliau juga pernah tewas untuk kerusi DUN Moyog pada tahun 1999 ketika masih memegang jawatan sebagai ketua menteri Sabah.

Namun beliau bangkit semula dengan memenangi kerusi parlimen Ranau pada pilihanraya umum tahun 2004 dan juga kerusi parlimen Penampang pada 2008.

Dompok memulakan karier politik beliau bersama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menjatuhkan kerajaan Parti Berjaya pada tahun 1985.

Namun Dompok telah meninggalkan PBS bersama-sama dengan beberapa pemimpin kanan PBS lain setelah kerajaan PBS ketika itu berjaya digulingkan apabila ramai ahlinya melompat keluar.

Dompok bersama yang lain kemudiannya menubuhkan Parti Demokratik Sabah (PDS) yang kemudiannya ditukar nama menjadi Upko.

Melalui system penggiliran Ketua Menteri ketika itu, Dompok telah memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah tetapi hanya bertahan tidak sampai setahun apabila beliau tewas untuk kerusi DUN Moyog pada tahun 1999.

Dompok dikenali dengan kelantangan beliau berkenaan dengan hak-hak negeri, isu-isu keagamaan dan memainkan peranan utama dalam memperkenalkan bahasa Kadazandusun sebagai matapelajaran di sekolah-sekolah di Sabah.

Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment