Anwar sokong perjanjian air, pinda jika bebankan rakyat

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini mengumumkan beliau tidak menentang perjanjian persefahaman (MoU) di antara kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan negeri Selangor berhubung perjanjian konsesi air tetapi perlu menyemak secara terperinci perjanjian itu.

Ketua pembangkang itu berkata soal untuk meminda ataupun tidak kandungan MoU itu sekiranya beliau menjadi menteri besar Selangor bergantung sepenuhnya kepada kepentingan rakyat.

"Saya terlibat di peringkat awal rundingan dan saya bersetuju rundingan perjanjian dengan kerajaan persekutuan."

"Selagi saya belum baca MoU, ruang untuk saya komen terbatas. Ada perjanjian mutlak dan ada yang boleh dikaji semula," katanya dalam satu majlis Dialog Anak Muda di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

Kerajaan negeri Selangor menandatangani perjanjian MoU dengan Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air berhubung pemilikan konsesi air di Selangor pada Khamis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyaksikan upacara menandatangani MoU berkenaan antara Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Maximus Ongkili di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Anwar berkata oleh kerana Pilihan Raya Kecil Kajang diadakan pada 23 Mac ini maka kerajaan persekutuan bersungguh-sungguh untuk segera memeterai MoU Langat 2.

Katanya, jika MoU yang ditandatangani Khalid itu sememangnya memberi faedah kepada rakyat Selangor maka tiada keperluan untuk dipinda tetapi jika sebaliknya, satu kajian semula akan dilakukan.

“Masalah air enam tahun berlarutan tetapi kerana Anwar bertanding di Kajang, cepat-cepat diselesaikan. Kalau tidak, ingat nak selesai? Tidak. Kajang sememangnya membantu."

“Muhyiddin dan Khalid dah nyatakan tetapi jika ia mempertahankan kepentingan rakyat Selangor maka tiada sebab untuk dipinda tetapi jika tidak menguntungkan dan bercanggah dengan dasar Pakatan Rakyat (PR) mungkin kita akan kaji semula,” katanya.

Muhyiddin dan Khalid bersetuju bahawa MoU air itu tidak boleh diubah meskipun Anwar dilantik menjadi Menteri Besar Selangor.

Khalid semalam berkata Putrajaya dan kerajaan negeri melihat MoU itu sebagai satu perjanjian yang mengikat antara dua pihak untuk melaksanakan apa yang dipersetujui.

Katanya, baik kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan melihat usaha sama tersebut lebih besar daripada sekadar perjanjian kerana ia memerlukan komitmen kedua-dua belah pihak.

Mengulas mengenai dakwaan pelbagai pihak yang mendakwa Khalid tidak memaklumkan kepada Anwar berhubung MoU berkenaan, ketua umum PKR itu berkata beberapa prinsip dasar dalam MoU itu sudah diketahui dan tiada keperluan untuk memaklumkan semua butiran dengan segera.

Katanya, keputusan kerajaan persekutuan yang hanya memberi notis satu hari kepada kerajaan negeri Selangor untuk menandatangani MoU berkenaan sebagai luar biasa dan tidak pernah dibuat oleh mana-mana negara.

“Perjanjian terperinci tidak perlu dimaklum semua. Sudah tentu saya patut dimaklumkan tetapi beberapa prinsip dasar memang diketahui berhubung isu jaminan harga air untuk rakyat dan penguasaan aset Langat 2."

“Bila MoU yang dibuat agak mengejut kerana notis diberi kerajaan persekutuan cukup suntuk. Saya percaya ini sebab Kajang."

“Bagi menandatangi MoU berbilion ringgit dan notis satu hari diberikan, belum pernah berlaku dalam sejarah dunia walaupun rundingannya awal,” katanya.

Perjanjian antara kerajaan negeri dan Putrajaya ditandatangani pada Rabu lalu bagi pengambilalihan aset air negeri dan pembinaan loji rawatan air.

Baik Khalid mahupun Muhyiddin menegaskan perjanjian itu bukan seperti usahasama yang biasa kerana ia bersifat tetap dan tidak boleh dipinda.

Bagaimanapun ia tidak persetujui oleh pakar perundangan.

Peguam, Syahredzan Johan menegaskan ia bukan dokumen yang mengikat secara sah di sisi undang-undang dan menyatakan pihak yang menandatangani mungkin masih di peringkat perbincangan.

Katanya, ia hanya mencerminkan niat pihak tertentu untuk bekerjasama ke arah matlamat yang sama.

Merujuk kepada perjanjian antara Selangor dengan Putrajaya, Syahredzan berkata ia tidak terikat secara sah di sisi undang-undang, maka ia boleh terbatal.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment