KOTA BHARU: Pertubuhan R Kelantan (R) mendakwa ada pihak cuba menggagalkan program penyerahan memorandum anjuran NGO tersebut kepada kerajaan negeri pada 6 Mac ini.

Presiden R, Nazri Deraman berkata, memorandum yang dirancang mahu diserah kepada kerajaan negeri berhubung tuntutan royalti ke atas pengeluaran petroleum di pelantar Damar yang berada di perairan Kelantan.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya mendapat maklumat ada pihak-pihak tertentu cuba untuk membuat provokasi dengan menyertai program R tersebut.

“Kami melihat ada unsur-unsur sabotaj bagi merosakkan imej kerajaan negeri dan merosakkan nama dan hubungan baik R dengan kerajaan Kelantan."

“Sehubungan itu bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini, maka R akan menunda program penyerahan memorandum tersebut pada tarikh lain,” katanya di sini.

R yang dianggotai anak-anak muda bergabung di bawah nama Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan.

Kini NGO itu berdaftar secara sah dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan atas nama Pertubuhan R Kelantan.

Nazri berkata, pihaknya pada mesyuarat 26 Februari menetapkan 5 Mac bagi menyerah memorandum tersebut sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Namun katanya, pada hari yang sama pihaknya mendapat maklumat perhimpunan aman anjuran NGO SETIA akan diadakan di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Oleh itu R menunda program berkenaan kepada 6 Mac bagi mengelakkan pertembungan dengan perhimpunan yang dijangka dianjur NGO propembangkang.

“Kami mendapati pihak terbabit merancang untuk mencetak dan membeli baju R untuk dipakai semasa perhimpunan tersebut,” kata beliau.

Menurutnya juga beliau telah memaklumkan kepada Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob mengenai perancangan R menyerah memorandum tersebut dan telah mendapat persetujuannya,” tambahnya.

Sehubungan itu Nazri berkata, mana-mana pihak atau individu yang menyertai perhimpunan pada 5 Mac atau 6 Mac ini tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan R.

“Saya tegaskan bahawa tidak timbul pihak R terlibat atau akan terlibat dengan usaha-usaha yang cuba menjatuhkan imej kerajaan negeri yang ada sekarang.

“Perjuangan R dan pimpinan kerajaan negeri sekarang isu tuntutan Royalti,” katanya.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment