9 kertas siasatan laporan Ketua Audit disyor tutup

 
Jabatan Peguam Negara mengembalikan sembilan kertas siasatan berkaitan Laporan Ketua Audit Negara 2012 (LKAN 2012) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan syor supaya ia ditutup, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
  
Katanya ini kerana penelitian jabatan itu terhadap hasil siasatan SPRM mendapati tidak cukup keterangan bagi membolehkan satu pertuduhan jenayah di bawah mana-mana undang-undang dikenakan terhadap mana-mana pegawai atau individu yang dinamakan di dalam kertas siasatan itu.
  
"Dalam beberapa kes, adalah diperhatikan bahawa salah laku atau salah urus perbelanjaan yang telah dibangkitkan di dalam LKAN 2012 dan disiasat oleh pihak SPRM adalah berikutan kecuaian pegawai-pegawai di samping kelemahan prosedur pentadbiran, kewangan dan tadbir urus di kementerian, jabatan atau agensi yang berkenaan." 
  
"Justeru, tindakan untuk menambah baik prosedur dan tadbir urus dan saranan untuk suatu tindakan tatatertib terhadap pegawai yang terlibat telah dicadangkan di dalam beberapa kertas siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
  
Abdul Gani juga berkata tujuh kertas siasatan yang lain telah dipulangkan oleh jabatan itu kepada SPRM dengan arahan untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat tambahan dan dokumen sokongan yang berkaitan.
  
Ia bertujuan melengkapkan kertas siasatan sebelum suatu syor yang muktamad diberikan, katanya sambil menambah bahawa beberapa pertuduhan yang berbangkit daripada tiga kertas siasatan yang dirujuk juga sedang dipertimbangkan oleh jabatan itu.
  
Abdul Gani berkata penyerahan kertas siasatan itu dibuat oleh SPRM secara berperingkat-peringkat bermula 14 Nov 2013 dan kertas siasatan terbaru diterima pada 14 Februari 2014.
  
"Sejak 14 November 2013, kesemua kertas siasatan yang dirujuk telah diteliti dengan segera oleh pihak Jabatan Peguam Negara sebaik sahaja ia diterima."

"Sesi perbincangan di antara pihak Jabatan Peguam Negara dengan pihak SPRM, terutamanya pegawai-pegawai penyiasat yang berkaitan, juga sentiasa diadakan," katanya.
  
Beliau berkata kesemua kertas siasatan yang dikemukakan SPRM pada kali pertama didapati tidak lengkap dan memerlukan penyiasatan lanjut kerana tidak meliputi semua aspek teguran yang dibuat di dalam LKAN 2012.
  
Abdul Gani juga menjelaskan jabatan itu tidak menerima kertas siasatan bagi kes program bantuan Rumah Dhua’fat secara tidak memuaskan, kerana pemilihan penerima bantuan tanpa borang permohonan dan pendapatan penerima melebihi garis kemiskinan.
  
Satu lagi kes yang tidak diterima kertas siasatan daripada SPRM ialah mengenai kes pemberian tender bernilai RM14,385,332 oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkaitan soal mereka bentuk, membina, menguji dan mentauliahkan 'steel hull' latihan dan penyelidikan untuk UMT, sedangkan hasil pemeriksaan Jabatan Laut Malaysia mendapati ia tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, katanya.

Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment