Zam: Tak dapat dinafikan, DEB idea komunis 

Bekas ketua pengarang Utusan Malaysia Tan Sri Zainuddin Maidin berkata idea Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebenarnya ditimbulkan oleh seorang komunis.

Bercakap dalam "Seminar Pemikiran Dr Kassim Ahmad: Satu Penilaian” di Putrajaya hari ini, Zainuddin berkata idea itu ditimbulkan pemimpin buruh James Puthucheary yang menerbitkan buku Ownership and Control in the Malayan Economy.

"Ini tak dapat dinafikan, ia turut tercatat dalam buku memoir Tun Dr Ismail, The Reluctant Politician."

“Ini sumbangan orang komunis dan sosialis kepada negara," kata beliau ketika memberi komen mengenai Kassim, bekas ketua Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM).

Zainuddin yang juga menteri penerangan ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi bagaimanapun menolak tanggapan bahawa Parti Komunis Malaya (PKM) mempunyai niat baik terhadap negara.

Beliau berkata dakwaan kononnya tiada istilah rasisme di dalam komunisme dan sosialisme yang dibawa oleh PKM itu hanya omongan kosong belaka.

"Satu surat PKM kata tak mahu bantu Parti Komunis Indonesia gulingkan Sukarno kerana ia dikuasai orang bukan Cina. Surat itu dipintas oleh Cawangan Khas kita," kata beliau.

Feudalisme agama bermula 80-an

Zainuddin turut berkata masalah feudalisme agama di negara ini bermula apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed membawa seorang yang tidak memahami Islam sebenar ke dalam Umno pada awal 1980-an.

Beliau mendakwa pemimpin itu yang ketika itu menerajui kementerian pendidikan telah menekan beliau sebagai ketua pengarang Utusan dalam isu penukaran uniform sekolah dan beberapa isu lain ketika itu.

"Desakan dibuat menggunakan kementerian dan Berita Harian untuk agenda Islam beliau. Namun saya bertahan."

"Ini tidak termasuk menggunakan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) untuk tujuan politik. Saya tak nak cakap," kata beliau tanpa menamakan pemimpin tersebut.

Beliau tidak menyebut langsung nama “seseorang” itu. Bagaimanapun, ia dipercayai merujuk kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun Zainuddin memuji seorang panel dan bekas wartawan Utusan Malaysia Astora Jabat yang dianggap sebagai kawan baik beliau dalam memperjuangkan akhbar tersebut di masa itu.

"Kalau Tun Mahathir masih berkuasa, Astora dah jadi rakyat Malaysia. Selepas saya keluar Utusan, Astora tercampak ke situ (Thailand)."
 
Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment