KUALA LUMPUR: "Apa masalahnya sambut Valentine? Masalahnya, hukum menyambut Valentine bagi umat Islam adalah haram. Itu masalahnya, yang perlu difahami Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz," tegas Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz berkaitan sambutan Valentine's Day atau Hari Kekasih yang diraikan 14 Feb lalu.

Bercakap kepada Harakahdaily, Khairuddin berkata Islam dengan jelas menetapkan sambutan Valentine's sebagai haram kerana banyak menyumbang ke arah kemudaratan, selain ia lebih sebagai memperingati seorang paderi yang mati pada tarikh tersebut.

"Mengenai Valentine's ini, tidak ada khilaf sama ada ia haram atau sebaliknya. Semua sepakat bahawa ia haram. Mengapa Nazri persoal pula perkara begini?" soal beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Justeru, beliau mengajak Nazri dan sesiapa yang berpandangan sama dengan menteri itu untuk segera bertaubat memandangkan perkara itu berkaitan dengan akidah umat Islam.

Nazri, sebelum ini mempersoalkan mengapa orang Islam tidak dibenarkan meraikan Valentine's Day, selain berpandangan sambutan itu bukan sebagai satu bentuk sembahyang.

Nazri turut mengecam PAS atas tindakan parti itu melancarkan kempen menentang Valentine's Day dan menyifatkannya sebagai 'mengarut'.

Nazri dilaporkan mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai reaksi terhadap kenyataan Menteri agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang melancarkan penguatkuasaan pencegahan secara besar-besaran di seluruh negara pada malam 14 Feb lalu.

Pada 22 hingga 24 Nov 2005, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day.

Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam dan roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment