PULAU PINANG: Perbicaraan kes saman fitnah Timbalan Presiden PAS, Mohd Sabu ke atas Utusan berhubung berita yang disiarkan pada 27 dan 28 Ogos 2011 semakin panas apabila saksi Utusan, Tan Sri Rahim Noor, mantan Ketua Polis Negara disoal balas bertalu-talu oleh peguam Mohamad Sabu, Mohamed Hanipa Maidin (gambar).

Di dalam keterangannya semalam, Rahim Noor menyatakan secara panjang tentang sejarah ideologi komunis di mana Hanipa bangun membantah dengan menyatakan beliau bukan sebagai saksi pakar. Beliau menyatakan bahawa menurut pandangan beliau Mat Indera adalah seorang komunis.

Beliau bagaimanapun mengakui beliau tidak pernah menemui sebarang bukti bahawa Mat Indera ada memegang kad keahlian Parti Komunis Malaya (PKM). Beliau juga menyatakan bahawa komunis mempunyai perancangan besar untuk menegakkan negara komunis di seluruh dunia. Beliau juga mengakui negara ini dijajah oleh British meskipun Utusan cuba mengambil pendirian bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British

Apabila tiba giliran beliau disoal balas oleh Hanipa, peguam Mat Sabu itu memulakan soalan beliau dengan bertanya kepada Rahim Noor adakah dia sedar Mat Indera adalah seorang guru agama dan tahu berbahasa arab dan beliau mengakui perkara tersebut. Hanipa juga bertanya.

Hanipa: Maaf saya bertanya Tan Sri, apakah tahap pendidikan agama Tan Sri?

Rahim: Saya tidak belajar tinggi agama, hanya sekolah pondok.

Hanipa: Pondok mana dan sampai tahap mana Tan Sri?

Rahim:  Pondok di Melaka sampai darjah 3 kalau tidak silap.... pondok tu pun dah tak ada lagi.

Hakim: Sekolah pondok ke sekolah agama sebelah petang?

Rahim: Sekolah agama petang....

Hakim: Itu bukan sekolah pondok!

Hanipa: Jadi Tan Sri saya kata sekarang ini situasinya Mat Indera adalah seorang guru agama, ada pendidikan tinggi agama, tahu bahasa arab dan Tan Sri pula pendidikan agama yang rendah, setuju dengan saya kefahaman agama Islam Mat Indera lebih baik dari Tan Sri?

Rahim: Setuju

Hanipa: Tan Sri tahu tak tahaluf siyasi.... di mana orang Islam boleh bekerjsama dengan mana-mana pihak termasuk bukan Islam bagi menentang musuh yang lebih teruk.... saya kata ini adalah tindakan yang Mat Indera ambil.... dalam keadaan semua pertubuhan politik diharamkan British kecuali Umno maka Mat Indera bekerjsama dengan PKM untuk lawan penjajah British yang jajah tanah Melayu.... setuju Tan Sri?

Rahim: Tidak setuju.

Hanipa: Saya kata Tan Sri tidak setuju sebab Tan Sri sendiri tidak mempunyai pendidikan tinggi agama seperti Mat Indera.... Tan Sri tahu halfu al-Fudul?

Rahim: Saya tidak tahu.

Hanipa: Halfu al Fudul adalah perjanjian antara pelbagai qabilah arab jahiliyyah Mekah bagi menentang musuh yang sama dan Nabi Muhammad s.a.w menyaksikan perjanjian itu dan Nabi kata jika ia berlaku lagi di zaman selepas  Baginda menjadi Nabi maka Nabi juga akan sokong perjanjian itu.... tahu tak Tan Sri?

Rahim: Itu saya tak tahu.

Hanipa juga bertanya kepada Rahim mengapa beliau secara panjang menyatakan tentang grand design Komunis tetapi tidak pula menyatakan grand design British.

Hanipa menyoal "adakah Tan Sri fikir Mat Indera tidak tahu grand design penjajah British yang jajah tanah air kita, rampas khazanah negara kita, perkenal undang-undang mereka ganti undang-undang Islam, perkenal budaya mereka dan sebagainya?"

Tersentak dengan soalan itu beliau menjawab ini satu yang baru bagi beliau dan beliau akhirnya menjawab dengan sekali lagi bercakap tentang Komunis tetapi tidak langsung menjawab soalan Hanipa.

Hanipa juga membawa perhatian Rahim tentang buku "Pengukir Nama Johor" terbitan Yayasan Warisan Johor di mana kata-kata pengantarnya ditulis oleh Tan Sri Abdul Ghani Othman, mantan Menteri Besar Johor. Hanipa bertanya.

Hanipa: Tan Sri ada baca buku ini?

Rahim: Ya, ada.

Hanipa: Adakah Tan Sri tahu bahawa buku ini disemak oleh jawatankuasa antaranya pakar sejarah seperti Prof. Datuk Dr Ramlah Adam dan Prof. Datuk Abu Bakar A. Hamid....

Rahim: Ya, saya tahu.

Hanipa: Tan Sri sila lihat muka surat 108 di mana salah seorang tokoh pengukir nama Johor adalah Mat Indera, saya bacakan Tan Sri "di negeri Johor terdapat seorang pejuang bangsa dan negara yang telah diberi imej buruk oleh penjajah Inggeris. Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan." Soalan saya Tan Sri, jika dilihat kepada buku ini jelas bahawa penjajah Inggeris lah yang mempengaruhi pemikiran rakyat Malaysia bahawa Mat Indera adalah pengganas komunis dan minta maaf salah seorang rakyat Malaysia yang dipengaruhi Inggeris itu adalah kamu, Tan Sri?

Rahim: Saya tidak setuju.

Hanipa: Tan Sri katakanlah anggapan Tan Sri bahawa Mat Indera adalah komunis adalah benar, maka tidakkah ini bermaksud Kerajaan Johor atau Manteri Besar Johor sendiri iktiraf komunis melayu ini sebagai tokoh kemerdekaan ataupun Tan Sri mungkin anggapan Tan Sri salah maka sebab itulah Mat Indera bukan seorang Komunis dan sebab itu jugalah Mat Indera diiktiraf sebagai pengukir nama Johor.

Rahim: The truth lies somewhere in the middle....

Rahim juga dilihat sukar nak menjawab apabila Hanipa menyoal mana lebih mulia rakyat Tanah Melayu yang bekerja dengan penjajah British, yang jadi tali barut atau spy British dan yang jaga kepentingan British dengan Mat Indera yang berkerjsama dengan PKM seperti Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah C.D yang juga rakyat Malaysia dan menentang orang luar yang datang jajah Tanah Malayu iaitu British.

Rahim juga bersetuju teknik soal siasat yang dijalankan oleh British ke atas Mat Indera menyerupai teknik siasatan di bawah ISA dan apabila Hanipa bertanya adakah Mat Indera ditumbuk ketika dalam penjara saksi menjawab dia tidak pasti.

Sementara itu semasa menyoal Ketua Pengarang Utusan, Datuk Aziz Ishak, Hanipa telah merujuk kepada dokumen defendan sendiri iaitu keratan artikel dari Utusan Malaysia pada tahun 1983 di mana di dalam artikel tersebut pengarang itu telah gunakan istilah penjajah Inggeris dan juga dinyatakan di dalam artikel tersebut bahawa rakan Mat Indera bernama Cikgu Sabran yang menguruskan mayat Mat Indera memberitahu keadaan mayat itu berwarna kekuningan dan berbau wangi. Pengarang itu sendiri di akhir artikel tersebut menulis seperti berikut "beliau telah pergi dan dalam konteks ini siapakah beliau sebenarnya seorang pengganas komunis atau Nasionalis tulen Melayu?"

Perbicaraan kes akan bersambung hari ini. Mat Sabu diwakili pasukan peguam Mohamed Hanipa Maidin, Aminuddin Zulkifli dan Nasar Khan manakala Utusan diwakili peguam Datuk Firuz Huseein, Datuk Hafarizam Harun dan Abu Bakar.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment