PETALING JAYA: PKR hari ini menetapkan tujuh keutamaan isu setempat yang perlu ditekankan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media memberitahu keutaman tersebut diperolehi daripada pengalaman beliau yang berinteraksi dengan penduduk sekitar.

Jelasnya, tiga perkara utama dalam tujuh keutamaan yang memerlukan perhatian segera adalah keselamatan penduduk akibat jenayah, permasalahan trafik dan kebersihan setempat.

"Saya berpeluang mendekati penduduk Kajang sejak beberapa minggu lalu dan mendengar sendiri masalah dan harapan mereka."

"Dari pengalaman yang diperolehi, menunjukkan tiga perkara utama dari tujuh keutamaan yang memerlukan perhatian segera di Kajang adalah soal keselamatan akibat jenayah, masalah trafik dan juga tahap kebersihan," jelasnya di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Katanya lagi, selain tiga perkara utama terdapat empat keutamaan iaitu masalah sosial, bantuan kepada keluarga berpendapat rendah, pengurusan gerai penjaja dan peniaga kecil serta perkhidmatan Majlis Perbandaraan Kajang.

"Saya akan terus mendekati penduduk Kajang untuk berbincang mengenai harapan dan kaedah yang boleh digunakan untuk menyelesaikan isu setempat ini."

"Saya yakin bahawa jalan yang terbaik ialah dengan melibatkan masyarakat setempat dan memberdayakan mereka menguruskan hal ehwal masyarakat setempat," jelasnya lagi.

Tambah Ketua Pembangkang itu lagi perbincangan telah diadakan dengan Institut Rakyat supaya satu kajian perbandingan khusus dibuat serta merta untuk mengkaji amalan terbaik yang digunapakai di tempat-tempat lain dalam menangani beberapa masalah yang perlu diberikan keutamaan di Kajang.

"Hasil dari kajian itu akan dibentangkan dan dibincangkan bersama penduduk supaya kita dapat menggembleng tenaga semua pihak untuk jadikan Kajang selamat, bersih dan lancar," sambungnya lagi.

Ketika mengulas mengenai bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon Bebas yang dilihat sebelum ini menyokong keputusan Anwar bertanding di Kajang, beliau menghormati keputusan itu.

 "Dua minggu lalu beliau (Zaid) menyokong saya bertanding di Kajang dan sekarang beliau pula buat keputusan untuk bertanding."

"Kita menghormati keputusan dan proses demokrasi, tentang pensetujuan beliau sebelum ini dan tindakan beliau sekarang biar dia yang jelaskan, saya tidak nak komen apa-apa," katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak meletakkan sebarang sasaran pengundi mana yang menjadi undi penentu kepada kemenangan beliau di Kajang.

Katanya, semua kaum merupakan penentu kepada faktor kemenangan, setiap kaum mahupun kategori pengundi mempunyai hak mereka untuk menentukan siapa yang mereka pilih.

Beliau yang dalam pada itu menekankan dakwaan mengatakan wujud pertelagahan di dalam Pakatan Rakyat berikutan PRK Kajang hanya merupakan spekulasi dari Umno semata-mata.

"Kerjasama setiap jentera parti PAS, PKR dan DAP berada pada tahap memuaskan, mereka bekerja untuk memastikan kemenangan kita."

"Mana ada pertelagahan, itu semua dakwaan dari Umno semata-mata untuk melihat kita (Pakatan Rakyat) ini tidak sehaluan," ujar beliau lagi.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment