Pemecatan kakitangan kontrak PKNS sebahagian usaha CAT Pakatan, kata Khalid

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Isu kontroversi melibatkan pemecatan 22 kakitangan kontrak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah sebahagian daripada proses "Kredibiliti, Akauntabiliti, dan Ketelusan" (CAT) yang diamalkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR), kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar).

Menteri besar Selangor itu berkata, perkara-perkara seperti itu sudah dijangka akan berlaku kerana baik dan buruk setiap kesan daripada program-program mereka akan dilaporkan.

"Saya tidak takut lagi kerana kita mengamalkan polisi ketelusan."

"Apa yang baik, apa yang buruk semua akan dilaporkan," katanya kepada pemberita selepas program Pelancaran Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) Selangor di Klang, hari ini.

Melalui proses CAT itu juga, Abdul Khalid berkata langkah positif akan dapat diambil sebagai pengajaran daripada beberapa perkara.

"Bila kita laksanakan proses kredibiliti, perkara ini akan berlaku."

"Yang baik dan buruk pun akan dihebahkan. Tetapi apa sepatutnya kita perlu buat, kita betulkan apa yang tidak betul, kita perbaiki lagi usaha kita."

"Dengan itu langkah positif dapat kita lakukan," katanya.

Selain penamatan kontrak 22 kakitangan PKNS itu, turut menimbulkan kontroversi adalah tindakan pengguguran Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS.

Seminggu selepas perkara tersebut berlaku, pegawai tinggi PKNS – bekas Pengurus Besar PKNS Datuk Othman Omar dan Setiausaha Kerja PKNS Norita Mohd Sidek – dipindahkan ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) serta merta.

Ekoran pengguguran Azmin, beberapa penyokong beliau turut mengadakan demonstrasi di pejabat PKNS di Shah Alam.

Pengkritik melihat pengguguran Azmin berkait rapat dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dengan PKR meletakkan ketua umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon mereka bagi menggantikan Lee Chin Cheh.

Lee mengakui beliau melepaskan jawatan kurang setahun selepas dipilih dalam proses pilihan raya untuk memberi laluan kepada Anwar.

Malah, pemerhati berpendapat tindakan meletakkan Anwar akan dapat menyelesaikan kemelut dalaman PKR antara Abdul Khalid dan Azmin.‎

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment