KUALA LUMPUR: Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) kesal dengan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia yang tetap meneruskan taklimat berkaitan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), sedangkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan penangguhan.

Pengerusi Penaja SGMM, Mohd Nor Izzat Mohd Johari menjelaskan tindakan KPM itu merupakan satu pembaziran kerana PBS sememangnya ada percanggahan berhubung cara pelaksanaannya.

"Saya sekali lagi minta Timbalan Perdana Menteri (TPM) memansuhkan PBS ini serta merta kerana Malaysia memang telah diperakui tidak mampu melaksanakannya mengikut teori sebenar PBS itu sendiri."

"Apa yang dibuat oleh KPM adalah menutup segala kelemahan PBS yang telah saya ajukan. Antaranya pengurangan eviden, pemampatan diskriptor dan mewujudkan peperiksaan berpusat bagi beberapa subjek sahaja."

"Semua ini hanya menutup kelemahan yang telah berlaku pada tahun 2012 dan 2013 semata-mata," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Tambahnya, usaha ini bukan menambahbaik PBS tetapi menambahkan lagi kecelaruan tentang pelaksanaan PBS.

Malah dalam tempoh tiga tahun, PBS berubah-ubah sesuka hati.

Mengulas migrasi Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bersama Sistem Pengurusan Sekolah (SPS), beliau melahirkan kebimbangan kerana SPS sudah maklum gagal dan lemah.

"Baru-baru ini, semua guru terpaksa memasukkan data murid ke dalam SPS dan diberi tarikh akhir akan tetapi laman web berkenaan gagal berfungsi dengan baik," sambung beliau.

"Adakah SPPBS yang dimigrasi dalam SPS juga akan hadapi masalah yang sama apabila dibuka pada April ini," soal beliau.

Jika berlaku katanya, ianya sudah terlambat untuk semua pihak dan sekaligus menambah bebanan kepada guru yang terpaksa menyiapkan kerja yang telah tertangguh sejak September 2013 sehingga April 2014.

Dalam pada itu, beliau memberitahu  'Himpunan 222: Mansuh PBS' di Bandar Baru Bangi ini adalah kemuncak kepada kebangkitan suara guru dan masyarakat berkaitan permasalahan pendidikan negara sekaligus sebulat suara mahu PBS ini dimansuhkan serta merta.

Beliau berharap agar TPM tidak terlalu mengejar Petunjuk Prestasi Utama  (KPI) sebagai Menteri Pendidikan semata-mata tetapi berfikir untuk masa depan generasi akan datang.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment