PAS: Kassim Ahmad hina Islam

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar mahu tindakan diambil terhadap Dr Kassim Ahmad kerana didakwa menghina Islam dalam sebuah majlis di Putrajaya semalam.

Mahfuz berkata Kassim tidak pernah diambil tindakan oleh mana-mana penguatkuasa agama di negara ini walaupun ajaran 'anti-hadis' beliau telah difatwakan haram sebelum ini.

"Beliau (Kassim) persoalkan bagaimana masyarakat Islam mendewa-dewakan Nabi Muhammad, rambut wanita bukan aurat dan wujud kasta paderi."

"Ini satu penghinaan kepada Islam dan pencabulan hak dan penghinaan terhadap Majlis Raja-Raja," kata beliau dalam sidang media hari ini.

Malaysiakini melaporkan semalam Kassim hadir mengajak rakyat Malaysia dan parti politik kembali kepada Islam sebenar, dalam "Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian" di Putrajaya.

Bagaimanapun idea beliau tetap kontroversi apabila mendakwa Islam sebenar di negara ini telah diseleweng kerana mengikut satu sistem “kasta paderi” yang dipanggil ulama.

Mahfuz yang juga MP Pokok Sena menganggap Kassim sebagai 'ulama Umno' kerana beliau merupakan antara tempat rujukan oleh parti itu.

Pemimpin PAS itu turut mempersoalkan samada kumpulan pendesak Melayu seperti PERKASA akan mendesak tindakan diambil terhadap Kassim kerana didakwa telah menghina Islam.

"Saya terkejut kerana tidak ada sebarang komen dan tindakan yang dibuat oleh ahli Umno. Malang bagi kita bila Umno biarkan ajaran yang boleh tumbul kecelaruan berleluasa di kalangan masyarakat," kata beliau.

Sementara itu Mahfuz mengulangi pendirian PAS mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail 'membersihkan' terlebih dahulu Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebelum dilantik Tuan Yang Terutama (TYT).

"Hal ini perlu dilakukan agar Yang DiPertuan Agong (YDPA) tidak melantik seseorang yang boleh calarkan imej baginda sebagai YDPA," kata beliau.

Sementara itu Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali bersependapat dengan Mahfuz dan mendesak agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) segera menyiasat program seminar dan mendapat kenyataan dari semua yang hadir pada majlis tersebut.

Dalam kiriman SMSnya kepada media hari ini, Ibrahim berkata Kassim bukanlah seorang ahli ilmu agama dan menyifatkan perbuatan itu sebagai 'keceluparan yang dahsyat'

"Jika benar Kasim berkata demikian, ia satu keceluparan yang dahsyat, wajar diambil tindakan kerana ia menghina Islam (menghina Allah), mencabar Majlis Raja-raja Melayu serta kesannya boleh mengelirukan kefahaman terhadap Islam," kata beliau.
 
Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment