'Pakai otak laa' Mukhriz....!

oleh Zulkifli Yahaya


Masih ingat tindakan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang memimpin penyokong Umno Kedah berhimpun di Tasik Pedu membantah pembalakan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat, sewaktu beliau menjadi pembangkang di Kedah dahulu?

Dengan memakai baju T berwarna merah tertera perkataan ‘Pakai Otak Laa’ beliau mengecam kerajaan negeri yang kononnya menebang balak sewenang-wenangnya, sekalipun pembalakan yang dibuat adalah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan.

Sejurus selepas angkat sumpah sebagai menteri besar, beliau tegas menghentikan semua projek pembalakan di Kedah. Namun selepas lima bulan membuat penegasan, cakapnya sudah tidak serupa bikin. Balak ditebang dengan berleluasa. Lori-lori balak sarat membawa muatan, khususnya di Daerah Sik, Padang Terap dan Baling. Ia kelihatan lebih rancak berbanding di bawah kerajaan lalu. Sebahagian besar aktiviti pembalakan berlaku di laluan TEKIH, iaitu laluan yang sama di mana Mukhriz membantah aktiviti pembalakan di zaman Ustaz Azizan dahulu.

Di celah-celah rakusnya pembalakan di bawah Mukhriz tiba-tiba meletup pula skandal penyelesaian kes saman balak di luar mahkamah yang didedahkan oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah.

Mukhriz terima asakan bertalu-talu agar memberi penjelasan berhubung isu penyelesaian di luar mahkamah yang dibuat oleh Bina Darul Aman Berhad (BDB) yang melibatkan pembayaran sebanyak RM2.5 juta kepada sebuah syarikat pembalakan. Sehingga kini beliau hanya diam membisu. Sama juga dengan isu pembelian kereta mewah kononnya untuk kegunaan Yang Di-Pertuan Agong tetapi diletakkan plet ‘Menteri Besar Kedah’. Apabila tidak mampu menjawab asakan pemimpin Pakatan, Mukhriz mengambil sikap diam membisu.

Isu balak RM2.5 juta ini bermula dengan proses penyerahan tender balak kepada sebuah syarikat pembalakan pada tahun 2006. Syarikat tersebut dikatakan memperolehi tender melalui proses yang amat pelik serta tatacara bukan konvensyional, sedangkan ada syarikat lain yang lebih layak.

Selepas kerajaan negeri bertukar ke tangan Pakatan Rakyat pada 2008, syarikat pembalakan tersebut telah menyaman BDB atas alasan anak syarikat kerajaan negeri itu kerana kononnya telah melanggar kontrak. BDB yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bukan menjalankan perniagaan beterasakan pembalakan telah melantik peguam bagi menguruskan kes saman tersebut.

Selepas beberapa kali perbicaraan dijalankan, kerajaan bertukar semula kepada BN pada PRU 2013 dan secara ‘amat ganjil’ BDB telah menyelesaikan kes ini di luar mahkamah dengan pembayaran sebanyak RM2.5 juta.

Persoalannya, siapa yang membuat arahan supaya penyelesaian di buat di luar mahkamah setelah dibicarakan sekian lama? Adakah arahan itu datangnya dari Menteri Besar selaku Pengerusi Lembaga Pengarah PKNK atau mana-mana ahli lembaga pengarah.

BDB mempunyai asas yang cukup kuat untuk memenangi kes tersebut. Adakah peguam yang membela kes ini termaklum dengan keputusan BDB itu? Terdapat dakwaan bahawa peguam (yang dilantik semasa pakatan) pun tidak dimaklumkan perihal penyelesaian di luar mahkamah itu. Mukhriz kena jelaskan semuanya kerana antara pemegang saham PKNK adalah rakyat Kedah kerana PKNK adalah milik kerajaan negeri Kedah, rakyat berhak mendapat penjelasan setelah RM2.5 juta duit rakyat hangus begitu saja. Ianya duit rakyat, bukan duit poket Mukhriz yang disimpannya sejak kecil.

Di awal pentadbiran Pakatan keuntungan yang dicatatkan sekitar syarikat RM16 juta namun selepas berakhir tahun 2012 keuntungan dicatatkan adalah sebanyak RM30.6 juta. Nampaknya keuntungan dibuat semasa Pakatan dihabiskan oleh pentadbiran BN begitu sahaja.

Ada lagi isu menarik yang berkaitan dengan BDB. Dato’ Amiruddin Hamzah mempersoalkan tindakan Mukhriz melantik bekas CEO Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Encik Izham Yusof yang dikaitkan dengan siasatan penyelewengan dalam beberapa buah syarikat oleh Juruaudit Khas Kementerian Kewangan.

Sebelum dilantik sebagai Pengarah Urusan BDB mulai 1 Februari 2014 ini, beliau sudahpun dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas BDB sekitar bulan September 2013.

“Bulan September beliau dilantik, bulan Disember berlaku penyelesaian kes di luar mahkamah.... apakah ada kaitan keputusan yang dibuat dengan masuknya individu ini dalam BDB?” soal Amiruddin yang membuka persoalan baru dalam hubungan isu balak di Kedah.

Buat masa ini Menteri Besar Kedah kena meneliti isu balak dengan sebaiknya kerana itulah isu utama yang diperjuangkannya sewaktu jadi pembangkang dahulu. Nasihat tidak ikhlas yang ditujukan kepada Ustaz Azizan suatu masa dahulu kena digunakan untuk dirinya pula. Pakai otak laa Mukhriz!

Sumber Berita Dari Blog KedahLaNie

No comments:

Post a Comment