KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur hari ini memerintahkan akhbar The New Straits Times (NST) membayar RM350,000 kepada Datuk Husam Musa berikutan mengeluarkan laporan fitnah terhadap Naib Presiden PAS itu.

Jumlah tersebut sebagai gantirugi am, gantirugi teladan dan gantirugi teruk.

Hakim Datuk Su Geok Yiam juga memerintahkan NST membayar RM10,000 bagi bicara taksiran gantirugi dan faedah dari tarikh pemfailan tindakan tersebut di mahkamah.

Pada 12 April 2013, mahkamah memberikan kemenangan kepada Husam dalam kes ini dan hari ini adalah hari penentuan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh defendan.

Dalam satu artikel pada 2008, NST menyiarkan satu berita mengaitkan Husam melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa di Kelantan ketika beliau memegang jawatan exco.

Ekoran itu, Husam memfailkan saman terhadap dua lagi defendan dan NST adalah defendan ketiga.

Defendan pertama dan kedua sudah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Husam sebelum ini.

Husam diwakili peguam Md Yunos Shariff manakala NST diwakili peguam Rishwant Singh.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment