KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sinis berkata, tidak mustahil selepas ini keluar pula dakwaan yang mengaitkan beliau juga terlibat dengan Perang Dunia Kedua.

Menurut beliau, apa sahaja masalah yang berlaku di negara ini, pada pandangan Umno BN adalah 'semuanya salah Anwar'.

“Ops Lalang, pertama kali saya dengar semua salah Anwar. Semalam saya diberi satu artikel (kononnya) saya terlibat dalam 13 Mei."

“Lepas ini, keluar pula cerita Anwar terlibat perang dunia kedua,” katanya ketika berucap di Dewan Gereja Holy Family, Jalan Gereja di sini, semalam yang  dipetik SelangorKini.

Lontaran sinis beliau itu sebagai membidas kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduh beliau turut memainkan peranan penting menjayakan Ops Lalang pada 1987 menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dr Mahathir berkata, sebagai seorang anggota Kabinet ketika itu, Anwar juga perlu bertanggungjawab terhadap insiden yang menyaksikan 108 pemimpin politik dan aktivis ditahan.

Dr Mahathir juga menyifatkan ketua umum PKR itu sebagai 'ahli putar belit' dan bukan pemikir ideal, dan PKR ditubuhkan semata-mata untuk mencapai cita-citanya.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment