MB Selangor: Isu enggan tanda tangan surat letak jawatan tidak benar

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Abdul Khalid menafikan kewujudan surat peletakan jawatan yang dikatakan oleh media. - Gambar The Malaysian Insider. 
Abdul Khalid menafikan kewujudan surat peletakan jawatan yang dikatakan oleh media. - Gambar The Malaysian Insider.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan beliau enggan menandatangani surat peletakan jawatan untuk membenarkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan menteri besar Selangor.

Menteri besar Selangor itu menegaskan, beliau sendiri tidak mengetahui kewujudan surat tersebut, berbeza dengan laporan media sebelum ini.

"Cerita itu tidak benar. Tiada surat pun."

"Isu ini saya tidak perlu komen. Kita buat kerja sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) Selangor di Klang hari ini.

Akhbar The Star sebelum ini melaporkan Abdul Khalid Ibrahim enggan menandatangani surat peletakan jawatan bagi membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan menteri besar Selangor.

Akhbar milik MCA itu melaporkan, berdasarkan sumber peringkat tertinggi PKR, Abdul Khalid dijadualkan perlu menandatangani surat peletakan jawatan yang disediakan kepimpinan parti bertarikh 23 Mac, hari yang sama dengan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang.

Surat peletakan jawatan sulit itu adalah sebahagian daripada pelan bercita-cita tinggi untuk memberi laluan kepada Anwar memimpin Selangor selepas menang PRK Kajang.

"Beliau berasa dipermainkan oleh Anwar," lapor The Star memetik sumber kerajaan negeri yang turut mengatakan Abdul Khalid sudah menyatakan hasratnya untuk tidak berundur kepada Sultan Selangor semasa pertemuan mingguan pada Rabu.

Menurut laporan akhbar itu, Abdul Khalid kini berdepan cabaran untuk mengekalkan sokongan Pakatan Rakyat (PR) Selangor terutamanya daripada DAP.

Laporan itu juga menyatakan Abdul Khalid berkecil hati dengan pemimpin PKR seperti Rafizi Ramli yang mengatakan beliau tidak cukup kuat untuk memimpin cabaran serangan Umno di Selangor.

Abdul Khalid dalam sidang medianya turut mengulangi gesaan sama agar isu berkenaan kedudukan menteri besar Selangor tidak lagi dipersoalkan memandangkan jentera PR sedang fokus untuk PRK Kajang.

"Isu ini banyak spekulasi dan telahan. Ini bukan nak buat drama India atau Indonesia," katanya.

"Yang penting, kerja-kerja kemenangan PRK dapat dilakukan dengan baik," katanya lagi.

Isu berkenaan kedudukan jawatan menteri besar Selangor timbul selepas Anwar menggantikan Lee Chin Cheh, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang yang melepaskan jawatan berkenaan.

Lee melepaskan jawatan sebagai Adun di kawasan berkenaan kurang setahun selepas Pilihan Raya 2013 untuk memberikan laluan kepada Anwar bertanding di Kajang.

Barisan Nasional (BN) masih belum menamakan calon mereka.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mac sebagai tarikh PRK.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment