SIBU: PAS Sarawak kesal dengan penahanan Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, Mazlan Aliman di Lapangan Terbang Sibu kira-kira jam 11.25 pagi tadi.

Ketua Penerangannya, Andri Zulkarnaen Hamden (gambar) berkata penangkapan itu amat tidak wajar kerana tidak ada asas kukuh mengapa Mazlan ditahan.

"Beliau tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan jenayah di seluruh Malaysia khususnya di Sarawak. Alasan yang diberi oleh pihak Imigresen yang menyatakan bahawa pihak Pejabat Ketua Menteri tidak membenarkan Mazlan memasuki Sarawak adalah jelas suatu pencabulan kepada sistem undang-undang di negara kita khususnya Sarawak."

"Sudah menjadi amalan di mana-mana juga di dunia ini, seseorang yang ditahan atau dihalang dari memasuki sesuatu negara atau negeri mestilah dibuktikan bersalah dan fakta-fakta kukuh dan konkrit," ujar Andri.

Beliau berkata jelas sekali penahanan itu adalah bersifat politik dan ia adalah ulangan kepada penahanan yang pernah dikenakan terhadap Mazlan pada 6 Julai 2011 di Lapangan Terbang Miri.

"Pihak-pihak tertentu jelas takut dengan pendedahan demi pendedahan tentang penyelewengan dan skandal tanah melibatkan pemimpin-pemimpin BN di seluruh negara khususnya Sarawak."

"Mazlan melalui NGO Anak dilihat menjadi duri dalam daging kepada penyangak-penyangak tanah yang menjadikan tanah rakyat sebagai habuan mereka mengumpul kekayaan," tambah Andri Zulkarnaen lagi.

Menurutnya, PAS Sarawak menggesa pihak Imigresen supaya tidak tunduk kepada desakan politik dalam menjalankan tugas mereka.

"Amat merbahaya jika jabatan seperti Imigresen tunduk kepada tekanan politik seperti kes Mazlan ini. Kami menggesa Mazlan segera dibenarkan memasuki Sarawak untuk meneruskan program Himpunan Tanah Sarawak yang dijadualkan berlangsung esok di Dun Beting Maro. Ianya dianjurkan dengan kerjasama Lajnah Tanah dan Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak," ujarnya lagi

Dalam perkembangan berkaitan, Andri juga melahirkan kekesalannya dengan beberapa kes ugutan yang dilakukan oleh pihak tertentu kepada Ahli Jawatankuasa Program dan peserta-peserta program esok.

"Salah seorang AJK kami diugut akan ditangkap jika datang ke kawasan beberapa Rumah Panjang di Beting Maro untuk mengajak penghuni Rumah Panjang hadir ke program esok."

"Selain itu kami juga percaya Tuai beberapa Rumah Panjang di kawasan tersebut juga telah diugut sehingga mereka tidak berani untuk memberikan kerjasama kepada program kami sedangkan semalam mereka begitu bersemangat untuk bersama-sama menjayakan program tersebut," ujar beliau.

Andri berkata ugutan itu adalah suatu tindakan primitif, pengecut dan tidak professional pihak tertentu yang jelas takut kepada bayang-bayang sendiri.

"Mereka takut penghuni di Rumah Panjang seperti Manggu Manggeris, Mutton Jawi dan lain-lain terus memberikan sokongan kepada usaha-usaha PAS untuk mengembalikan hak kepada rakyat Sarawak dari segi pemilikan tanah," tambah beliau.

Sementara itu, Mazlan Aliman menulis FB menyatakan bahawa beliau sudah kembali ke Johor dan baru mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment