Lebih baik Syabas guna duit kos guaman untuk tingkat mutu perkhidmatan, kata Rafizi

Rafizi akan terus menyuarakan masalah rakyat berhubung masalah bekalan air kepada pihak yang terlibat. - Gambar The Malaysian Insider. 
Rafizi akan terus menyuarakan masalah rakyat berhubung masalah bekalan air kepada pihak yang terlibat. - Gambar The Malaysian Insider.
Syarikat pengurusan air di Selangor dinasihatkan agar menggunakan duit bayaran guaman menyaman pengkritiknya bagi menukar sistem penapisan di semua loji supaya kegagalan yang menyebabkan penutupannya dapat dielakkan di masa akan datang.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, daripada membazirkan wang membayar peguam bagi menyaman beliau kerana mengkritik mereka, adalah lebih baik wang itu digunakan untuk tujuan itu.

Lagipun, kata pengarah strategi PKR itu, beliau akan terus menyuarakan bantahan kepada mana-mana pihak yang beliau fikir tidak meletakkan kepentingan awam untuk memastikan bekalan air yang baik kepada penduduk di kawasan beliau iaitu Pandan dan rakyat Selangor amnya.

"Jika ini bermakna saya akan berdepan dengan tindakan undang-undang, ini bukan kali pertama saya diheret ke mahkamah apabila bersuara di dalam isu kepentingan awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi beliau, Syabas dan Puncak Niaga (serta pemiliknya) nampak dangkal apabila sanggup membazirkan wang membayar peguam menyaman wakil rakyat seperti beliau.

"Sedangkan adalah lebih baik jika wang itu digunakan untuk menukar sistem penapis di loji-lojinya supaya kegagalan yang menyebabkan penutupan dua Loji Penapisan Air (LPA) Batu 11 Cheras dan Bukit Tampoi dapat dielakkan di masa akan datang," katanya.

Rafizi mengulas tindakan Syabas yang akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya di atas kenyataan beliau Isnin lepas mengenai masalah bekalan air yang terganggu melibatkan lebih 100,000 buah rumah di sekitar Lembah Klang.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan Syabas atau Puncak Niaga mengambil pendekatan saman setiap kali ada kritikan mengenai prestasinya sebagai syarikat yang memonopoli bekalan air di Lembah Klang.

Sebagai wakil rakyat, kata Rafizi, beliau mengambil pelbagai langkah untuk mengetengah rasa tidak puas hati penduduk yang sering menjadi mangsa gangguan bekalan air terutamanya di kawasan Pandan.

Ini termasuklah, mengumpul tanda tangan bantahan, membawa kes kegagalan Syabas ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, membawa isu untuk dibahaskan di Parlimen, mengusulkan kepada kerajaan negeri supaya menyediakan bekalan air kecemasan apabila berlaku gangguan dan berbincang dengan kakitangan Syabas sendiri untuk membantu penduduk.

Malangnya, kata Rafizi, semua langkah-langkah ini baik yang bekerjasama atau berdepan dengan Syabas tidak sedikit pun membaiki prestasi bekalan air.

Gangguan terus berlaku dan setiap kali ia terjadi, jumlah lori air untuk menghantar bekalan kecemasan tidak pernah mencukupi.

"Oleh itu, menjadi tanggungjawab saya terus mengkritik prestasi Syabas kerana kelemahan perancangan dan operasinya."

Dalam gangguan terbaru, kata Rafizi, beliau tidak dapat menerima alasan bahawa dua loji iaitu Batu 11 Cheras dan Bukit Tampoi ditutup kerana kandungan ammonia di dalam air sungai melebihi kapasiti pemprosesan yang dibenarkan di dua loji itu.

Sedangkan sekiranya loji berkenaan dinaiktaraf lebih awal, ia boleh menangani air sungai yang mempunyai kandungan ammonia lebih tinggi.

Melalui semakan awam, beliau mendapati bahawa kedua-dua loji hanya boleh memproses air sungai yang mempunyai kandungan ammonia maksima sebanyak 1.5 mg/liter.

Pada masa yang sama, sisa air rawatan daripada sistem kumbahan yang dilepaskan ke sungai-sungai oleh Indah Water Konsortium (IWK) mempunyai kandungan ammonia lebih tinggi kerana piawai yang dibenarkan adalah maksima 15 mg/liter atau 25 mg/liter (bergantung lokasi sungai).

Ini bermakna pengendali loji penapisan air seperti Puncak Niaga sememangnya tahu bahawa wujud kemungkinan kandungan ammonia di dalam air sungai yang tinggi terutama apabila musim panas kerana kekurangan hujan.

Dalam keadaan ramalan cuaca boleh dirujuk, pengendali LPA seperti Puncak Niaga sepatutnya boleh menduga tempoh tertentu yang mana kadar kandungan ammonia di dalam air sungai lebih tinggi yang boleh menjejaskan bekalan air.

"Persoalan yang saya timbulkan ialah kenapa tidak ada tindakan proaktif sebelum ini di pihak Puncak Niaga (dan Syabas kerana kedua-duanya dikawal oleh kepentingan yang sama) untuk menaiktaraf LPA sedia ada agar semua LPA ini boleh mengambil air sungai berkandungan ammonia yang lebih tinggi dari 1.5 mg/liter kerana perkara ini boleh dibuat," tanya Rafizi.

Beliau difahamkan Puncak Niaga sudah pun bersetuju untuk memasang sistem penapis (filtering system) yang menggunakan Sodium Aluminosilicate yang menelan belanja RM5 juta yang dijangkakan akan meningkatkan keupayaan kedua-dua LPA itu memproses air berkandungan ammnoia yang lebih tinggi dari 1.5 mg/liter.

Masalahnya, pemasangan sistem penapis baru ini akan mengambil masa lebih enam bulan dari sekarang dan tidak akan menyelesaikan masalah bekalan air sekarang.

“Bukankah jika tindakan ini diambil lebih awal, dengan mengambil kira ramalan cuaca, masalah gangguan bekalan air yang kini menyusahkan rakyat di seluruh Selangor dapat dielakkan?” soal Rafizi.

"Sebab itu saya mengkritik kelemahan perancangan Syabas dan Puncak Niaga yang tidak menduga lebih awal keperluan menggantikan sistem penapis kepada Sodium Aluminosilicate yang jika dibuat lebih awal dapat mengelakkan masalah bekalan air sekarang," katanya.

Bagi beliau, tindakan jangka pendek iaitu menggunakan kolam-kolam air berdekatan dengan hilir Sungai Langat untuk mencairkan air sungai yang digunakan oleh LPA Bukit Tampoi perlulah dilaksanakan segera kerana kosnya hanyalah sekitar RM360,000 sebulan.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment