KEPALA BATAS:  Kesal dengan fitnah yang dilempar individu tidak bertanggungjawab kononnya Pulau Pinang merancang untuk mengharamkan khutbah Jumaat, satu laporan polis telah dibuat Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Rosidi Hussain (gambar, kanan).

Turut mengiringi Rosidi di Ibu Pejabat Polis Kepala Batas semalam ialah  Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Pinang Tunggal, Muhasdy Mohammad dan Penyelaras Dun Bertam, Asrol Sani.

Ketika ditemui sebaik selesai membuat laporan, Rosidi menyifatkan finah terbaru blogger pro-Umno itu sebagai 'skrip baru' golongan yang mahu melihat Malaysia berada dalam keadaan tidak aman.

Tuduhan palsu itu, ujarnya dibuat untuk menjatuhkan maruah kerajaan negeri khususnya di kalangan penduduk Islam selepas golongan ini gagal mencetuskan pertelingkahan kaum.

"Ini berlaku seolah-olah ada skrip yang atur. Dua tiga hari lalu penduduk Tok Kun digemparkan dengan balingan daging khinzir ke dalam masjid. Gereja dilempar bom petrol, sepanduk Kalimah Allah digantung dipagar gereja dan beberapa kenyataan yang berbaur perkauman," katanya.

Tuduhan laman blog tersebut, ujar beliau jelas berunsur fitnah kerana Maipp bukan sahaja merencanakan teks khutbah Jumaat yang lebih mantap malah berusaha mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah dan komuniti ummah.

Sehubungan itu beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang menggesa pihak polis segera menjalankan siasatan dan mengheret individu berkenaan ke muka pengadilan.

"Kita tidak mahu individu ini terus memainkan sentimen agama sehingga mengocak keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini," tegas beliau.

Pada 17 Feb lepas, laman blog yang menggunakan nama 'Negara Pakatan Rakyat' mengeluarkan kenyataan terdapat beberapa pemimpin Pakatan Rakyat khususnya DAP yang kononnya tidak gemar dengan kandungan khutbah Jumaat yang didakwa mengandungi mesej berbaur ekstremis dan diskriminasi.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment