GEORGE TOWN: Dakwaan liar blogger pro-Umno kononnya Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang merancang melarang khutbah Jumaat dan insiden membaling daging babi ke perkarangan Masjid Machang Bubuk adalah tindakan pihak tertentu untuk mengocak sentimen agama dan perkauman di negeri ini.

Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa PAS negeri, Zolkifly Md lazim (gambar) menggesa pihak berkuasa segera menghentikan percubaan golongan pelampau kaum dan agama yang sengaja membakar sentimen agama dan kaum bertujuan meraih sokongan politik.

Menurut beliau, aksi provokasi seperti yang berlaku di Masjid Machang Bubuk serta di Masjid Terapung Batu Feringghi tidak sepatutnya berlaku di saat pemimpin negara sibuk memperkenalkan idea 'Konsensus Nasional'.

"Isu balingan daging babi ke dalam masjid dekat Machang Bubuk mungkin disebabkan pihak terbabit terpengaruh dengan provokasi politik perkauman yang ditajamkan dengan sentimen kebencian agama sejak kebelakangan ini."

"Saya tidak kata penyokong Umno dan Perkasa yang terlibat, tetapi saya yakin kumpulan pelampau berkenaan terpengaruh oleh politik perkauman yang ditajamkan oleh penyokong Umno dan Perkasa," tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pemuda DAP Bukit Bendera (DAPSY), Mohd Hariszuan Jaharudin membuat laporan polis terhadap fitnah jahat blogger pro-Umno yang mendakwa Kerajaan Pulau Pinang sedang merancang melarang khutbah Jumaat di negeri itu.

Beliau berkata, tuduhan oleh seorang individu yang dipercayai ahli Umno melalui laman sosial Twitter dengan memuatkan blog palsu Pakatan Rakyat jelas tidak benar sama sekali dan berniat jahat.

Menurut Hariszuan (gambar, tengah), lelaki bernama Abdul Aziz Johari yang mengendalikan akaun Twitter ‘@rjies22’ turut mengancam untuk "melancarkan perang" terhadap kerajaan negeri.

“Beliau menyebarkan laporan fitnah blog di dalam akaun Twitter miliknya dan mengancam bahawa perang akan berlaku jika kerajaan negeri mengharamkan khutbah Jumaat,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Timur Laut, Jalan Patani, dekat sini.

Berdasar maklumat akaun, Abdul Aziz ialah Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Kuala Nerus, Terengganu.

Laporan blog bertarikh 17 Februari dengan tajuk "Pulau Pinang pertimbangkan untuk haramkan khutbah Jumaat" itu turut menuduh pemimpin DAP antaranya Tony Pua, Lim Kit Siang dan Ketua Menteri, Lim Guan Eng kononnya mendakwa khutbah Jumaat mengandungi mesej ekstremis dan diskriminasi.

Hariszuan menyatakan, tweet Abdul Aziz semalam turut ditandakan dengan akaun twitter beberapa pemimpin termasuk Guan Eng (@cmlimguaneng), Datuk Seri Anwar Ibrahim (@anwaribrahim), Datuk Seri Jamil Khir Baharom (@dsjamilkhir), Tan Sri Muhyiddin Yassin (@MuhyiddinYassin) dan Tun Faisal Ismail (@tunfaisal).

Beberapa jam selepas tweet itu, Guan Eng telah memberikan respon dengan menegaskan ia sebagai fitnah.

“Apa yang merisaukan kami adalah ia jelas satu ancaman untuk melancarkan perang terhadap kerajaan negeri, sekaligus boleh menimbulkan ketegangan kaum."

“Blog terbabit tidak mewakili Pakatan Rakyat dan semua maklumat di dalamnya adalah palsu dan fitnah semata. Jadi saya amat berharap pihak polis akan menyiasat siapa pemilik blog itu,” ujar Hariszuan.

Beliau turut memohon kerjasama orang ramai untuk mengenal pasti individu di sebalik akaun atas nama @rjies.

“Jika pemilik akaun itu benar-benar seorang pemimpin Umno, beliau sepatutnya menunjukkan teladan yang baik dan bukannya mewujudkan ketegangan kaum dengan menyebarkan fitnah dan mengancam untuk berperang,” tegas Hariszuan.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment