KANGAR: Dewan Pemuda PAS Perlis berasa kecewa dengan tindakan penganjuran Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 15 dan 16 Februari lalu.

Menurut Ketuanya, Ustaz Yussaine Yahya, penganjuran seminar ini seolah-olah seperti ingin menjentik sensitiviti umat Islam kerana kerajaan sendiri telah mengharamkan buku hasil tulisan pemikiran beliau iaitu Hadis: Satu Penilaian Semula pada 10 Julai 1986 dan beberapa penulisan beliau yang jelas menyimpang dari ajaran Islam sebenar.

Malah, katanya Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Kedah pada 30 September 1995 telah memfatwakan murtad kepada mana-mana individu yang berpegang pada ajaran yang terkandung dalam buku itu.

"Pemuda PAS Perlis menuntut kerajaan menunjukkan sikap dan pendirian yang jelas dan tegas di atas isu ini dan menggesa kerajaan khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengambil perhatian serius di atas perkara ini," jelasnya.

Sehubungan itu, ujarnya Pemuda PAS Perlis menyeru seluruh umat Islam di negeri ini supaya hadir beramai-ramai dalam himpunan aman membantah perbuatan biadap Kassim Ahmad dan penganjur seminar itu yang akan diadakan esok, 21 Februari selepas solat Jumaat di Masjid Alwi, Kangar.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment