KUALA LUMPUR: Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) menyifatkan kenyataan Yang Dipertua Majlis Pegawai Pendidikan Daerah Malaysia (MPPDM), Shafruddin Ali Husin bersifat emosi dan ada sentimen untuk mewujudkan kebencian.

Sedangkan, tegas Presiden Pendidik Normala Sudirman, hasrat sebenar 'himpunan 222' adalah untuk membantah pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), dan bukan mahu menggulingkan kerajaan atau mengugat Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menggesa Shafruddin agar memohon maaf atas kenyataan yang bersifat naif, menghina dan 'tidak cermat' itu yang telah merendahkan martabat warga pendidik di Malaysia.

Sejak 2012 lalu , katanya NGO Pendidik konsisten membantah pelaksanaan PBS termasuk menghantar memorandum ke Parlimen Malaysia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kerana ia jelas membebankan guru dan menzalimi warga pendidik.

Beliau berkata demikian mengulas kepada kenyataan pegawai pendidikan berkenaan yang tidak mahu guru-guru menyertai bantahan PBS pada 22 Febuari ini.

Sejak PBS diperkenalkan jelas Normala, guru dilayan seperti robot dan masa rehat mereka dirampas bahkan terpaksa bangun malam, selain KPM gagal menyediakan maklumat yang jelas untuk warga pendidik mengurus aplikasi PBS ini.

"Masa depan pendidikan anak bangsa menjadi 'caca marba' akibat dasar pendidikan yang tidak konsisten dan bercelaru."

"Jangan lupa bagaimana kesan Dasar PPSMI dan kerugian 6 billion namun akhirnya para pelajar menjadi mangsa akibat dasar yang tidak dikaji sebelum dilaksana," katanya kepada Harakahdaily.

Justeru, beliau menyeru agar rakyat yg prihatin terhadap masa depan pendidikan anak bangsa termasuk warga pendidik, tokoh akademik dan ibu bapa serta rakyat Malaysia digesa hadir dalam himpunan tersebut yang akan diadakan di Masjid Bandar Baru Bangi  untuk menzahirkan suara hati rakyat.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment