KOTA BHARU: Kelantan Golden Trade (KGT) menuntut ganti rugi sebanyak RM150,000 daripada Utusan Malaysia kerana menyiarkan berita berunsur fitnah terhadap agensi itu pada 2012.

Pada prosiding kes tersebut petang semalam KGT diwakili peguam Zainal Abidin Mustaffa menolak permohonan maaf Utusan tanpa dibayar sebarang kos.

Sehubungan itu Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 27 dan 28 April hadapan bagi perbicaraan kes tersebut yang dikendalikan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Zainal ketika ditemui berkata, Utusan yang diwakili peguam M Reza Hassan bersetuju untuk memohon maaf tanpa mahu membayar sebarang kos.

“Bagaimana pun anak guam saya tidak bersetuju dan mahu dibayar kos terhadap berita berunsur fitnah yang didakwa terhadap KGT dua tahun lepas,” katanya di sini.

Kelmarin bekas Pengarah Eksekutif KGT, Nik Mahani Mohamed membuat pengakuan maaf di mahkamah terhadap dakwaannya Dinar dikeluarkan KGT tiada ciri-ciri Islamik seperti disiarkan Utusan.

Beliau juga memohon maaf kepada KGT terhadap sebarang kesulitan, terjejas reputasi dan apa-apa kerugian yang dialami akibat pemberitaan tersebut. Mahkamah menetapkan kos RM10,000 perlu dibayar terhadap plaintif.

Pada 25 Jun 2012 Nik Mahani dilaporkan mendakwa Dinar dikeluarkan KGT tiada ciri-ciri Islam. Berita tersebut disiarkan Utusan dengan tajuk “Dinar KGT Didakwa Tiada Ciri Islam”.

Ekoran dakwaan terbabit KGT melalui peguam mengeluarkan notis tuntutan terhadap Nik Mahani sebagai defendan keempat, tiga lagi iaitu Utusan Melayu (pertama), Saifulizan Muhamad (kedua) dan Azran Fitri Rahim (ketiga).

Bagaimanapun defendan-defendan terbabit gagal dan enggan mematuhinya.

Berikutan itu KGT mengemukakan saman terhadap keempat-empat defendan dengan menuntut mereka memohon maaf kepada plaintif tanpa syarat.

Permohonan maaf hendaklah dibuat secara terbuka melalui Utusan dan menarik balik laporan ditulis. Selain itu ganti rugi am sebanyak RM10 juta serta ganti rugi teladan sebanyak RM5 juta.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment